BERITA Malaysiakini

ADUN BN maafkan Harakah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ADUN Pulau Betong, Muhamad Farid Saad, daripada BN tidak akan meneruskan hasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar terbitan PAS, Harakah, berhubung laporan yang didakwa tidak benar mengaitkan beliau.

Katanya, walaupun beliau memaafkan wartawan dan penerbit akhbar berkenaan, tindakannya itu tidak bermakna beliau mengakui laporan itu benar.

NONE "Lebih baik saya beri perhatian kepada agenda pembangunan Melayu Pulau Pinang daripada memikirkan apa yang orang lain kata," katanya kepada Bernama di Georgetown hari ini.

Pada 23 November lalu, Muhamad Farid dilaporkan berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Harakah jika akhbar berkenaan gagal memohon maaf dalam tempoh 14 hari.

Muhamad Farid mendakwa Harakah telah memutar belit kenyataannya dalam forum bertajuk "Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Jalan Penyelesaian anjuran Yayasan Bina Ilmu Pulau Pinang" pada 10 November lalu.

Harakah dalam laporannya 15 November lalu mendakwa Muhamad Farid mengakui kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno semasa berkuasa menjadi punca tanah orang Melayu makin berkurangan di Pulau Pinang.

Justeru itu, beliau sebagai generasi muda dalam Umno mahu membaikinya sekaligus memastikan lain-lain tanah yang masih dimiliki orang Melayu tidak diambil untuk pembangunan yang tidak terancang.

"Sebagai generasi muda dalam Umno, saya rasa ia perlu diperbetulkan apakah kesilapan lalu supaya tidak terus menjadi persoalan siapakah pengkhianat sebenarnya," beliau dipetik sebagai berkata.

Selain itu, Harakah juga melaporkan bahawa Muhamad Farid mahu melupakan kisah lama yang ditinggalkan oleh generasi lama Umno yang nyata gagal menyelamatkan kedudukan tanah tersebut.