Pemimpin kanan Al-Ma'unah hari ini mendakwa beliau tidak melihat empat orang tebusan, tiga daripadanya polis dan renjer, di kem kumpulan itu di Bukit Jenalek pada awal Julai tahun lalu.
Timbalan Presiden kumpulan persilatan itu, Zahit Muslim bagaimanapun berkata beliau menyedari terdapat empat orang tawanan, iaitu Mohd Shah seorang anggota polis berpangkat sarjan, R Sagadevan (seorang berpangkat korporal daripada polis bahagian Cawangan Khas), Komando Matthew ak Medan (anggota renjer) dan Jaafar Putih (seorang awam).
Bagaimanapun memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini, beliau tidak nampak tawanan itu dan tempat mereka ditahan.
"(Saya tidak nampak) sebab (semasa mereka ditawan), saya berada (di tempat) yang jauh," katanya, apabila disoal oleh Timbalan Pendakwaraya Kanan Datuk Gani Patail.
Zahit bagaimanapun mengetahui Matthew dan Sagadevan telah ditembak mati oleh anggota kumpulan Al-Ma'unah.
Sebelum itu beliau memberitahu, kubu di Bukit Jenalek turut digali oleh empat orang tahanan tersebut.
"Kubu dibuat selepas senjata-senjata dibawa (dari kem tentera ke Bukit Jenalek)," jawab Zahit, sambil menambah, beliau yakin tentera akan menyertai kursus kerohanian selama empat hari di atas bukit tersebut.
Zahit kemudian berkata, tertuduh pertama Mohd Amin Mohd Razali menghubungi pihak tentera sebanyak dua kali tetapi beliau tidak mendengar butiran percakapan ketua kumpulan itu.
Dalam keterangan sebelum itu, Zahit berkata beliau berasa cemas apabila Mohd Amin menembak pencawang elektrik di Lata Kabu, Lenggong, Perak pada 2 Julai tahun lalu.
"Kami naik ke atas bukit. (Kemudian) tertuduh pertama (Mohd Amin) menembak pencawang elektrik," jelas Zahit, sambil menambah Mohd Amin menggunakan mesingan jenis GPMG.
Katanya, Mohd Amin, beliau dan dua lagi pengikut kumpulan itu pergi ke Lata Kabu menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero.
Memutuskan bekalan elektrik
"Kamu tahu kenapa tertuduh pertama hendak menumbangkan pencawang elektrik itu?" soal Gani lagi.
Zahit berkata tindakan itu bertujuan memutuskan bekalan elektrik di sekitar kawasan tersebut tetapi tidak pasti sama ada pencawang elektrik itu kabel utama di Perak.
Tambahnya, beliau berasa cemas dengan perubahan watak Mohd Amin setelah melepaskan tembakan itu dan ketua kumpulan itu kemudian menyatakan "(tindakan) ini adalah jihad, siapa yang lari akan ditembak."
Semalam Zahit berkata Mohd Amin berubah perwatakan daripada seorang yang lemah-lembut kepada seorang agresif ketika berada di kem kumpulan itu.
Peguam bela kepada Zahit, Zabidi Mohamad petang tadi memohon perbicaraan itu ditangguhkan selama seminggu ekoran terdapat banyak perkara baru yang ditimbulkan terhadap anak guamnya.
Hakim Datuk Zulkefli Ahmad Mainuddin menasihatkan peguam itu agar kes itu tidak ditangguhkan terlalu lama kerana "takut perkara-perkara tidak baik akan berlaku."
Bagaimanapun hakim bersetuju kes ditangguh Selasa depan.
Isnin lalu, mahkamah memerintahkan 19 membela diri selepas pihak pendakwa menamatkan sesi dan mendapati wujud prima facie dalam kes yang pertama kali di negara ini.
Mereka dibicarakan di bawah seksyen 121 Kanun Keseksaan atau berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup.
Sebelum ini, 10 orang anggota kumpulan itu mengaku bersalah atas tuduhan pindaan dan masing-masing dihukum penjara 10 tahun.
Mereka dituduh mengambil senjata dari Pos 2, Kem 19, Kuala Rui, Lebuhraya Timur Barat, Gerik, Hulu Perak; Batalion 304 Gerik, Kem tentera Hulu Perak dan Bukit Jenalek antara bulan Jun dan Julai tahun lepas.
