Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 101 daripada 128 pengikut Syiah yang ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini telah disoalsiasat kerana didakwa terlibat dalam ajaran tersebut.

Menurut sumber daripada bahagian penguatkuasa JAIS, pengikut ajaran itu mula memberi keterangan sejak ditahan minggu lepas.

jais mosque Proses merakamkan keterangannya dijangka selesai Khamis ini.

Menurut sumber itu lagi, kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

Sekiranya sabit kesalahan, kumpulan itu boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

"Mereka belajar secara berkumpulan. Kita faham kalau (belajar) secara individu itu, tidak ada masalah sebab kita pun tak tahu. Tapi ia dibuat secara berkumpulan," katanya kepada Malaysiakini .

Dalam fatwa negeri Selangor, terdapat larangan terlibat, mempelajari atau mengembangkan ajaran Syiah.

Rabu lalu, pengikut Syiah itu termasuk warga asing itu ditahan JAIS ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Antara terlibat golongan pensyarah, penuntut institusi pendidikan tinggi, peguam dan pegawai kerajaan, menurut laporan.

Sementara itu, sumber juga memaklumkan, daripada 128 orang yang ditahan itu, dua daripadanya telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuang pada 16 Disember lalu.

Katanya, selain dituduh mengikut seksyen 12(c), mereka turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan di bawah Seksyen 7(1) dan Seksyen 13 enakmen yang sama.

Seksyen 7(1) memperuntukkan mengenai mana-mana orang mengajar atau menjelaskan apa-apa doktrin atau melaksanakan apa-apa upacara atau perbuatan yang berhubungan dengan agama Islam di mana-mana tempat, sama ada tempat persendirian atau tempat awam.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Manakala Seksyen 13 pula memperuntukkan mana-mana orang yang memberikan, mengembangkan atau menyebarkan apa-apa pendapat tentang apa-apa isu, ajaran Islam atau hukum syara' yang bertentangan dengan mana-mana fatwa yang sedang berkuatkuasa di Selangor.

Sekiranya tertuduh melakukan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Kes tersebut akan disebut semula di mahkamah berkenaan pada 20 Januari depan.

Manakala seramai 126 lagi pengikut ajaran itu dijangka dihadapkan ke mahkamah pada 24 Mac depan.

ADS