Malaysia perlu melaksanakan Model Baru Ekonomi (MBE) secara efisien bagi membantunya menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan pada tahun depan, kata RAM Holdings Bhd.
Agensi penarafan itu mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.4 peratus pada tahun depan kerana teruja dengan pelan rancangan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), yang merupakan komponen utama MBE.
Ketua Pakar Ekonominya, Dr Yeah Kim Leng berkata Malaysia masih berupaya mencatatkan pertumbuhan positif dan bagi menghadapi kesan buruk berikutan pelaksanaan langkah-langkah perubahan di bawah MBE.
"Ianya satu cabaran. Tahun depan, kita akan melaksanakan satu transformasi yang akan menetapkan langkah bagi mencapai pertumbuhan jangka panjang," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.
Yeah berkata 2011 akan menjadi tahun mencabar apabila Malaysia bergerak untuk meletakkan asas laluan ke arah menjadi satu ekonomi berpendapatan tinggi melalui pelan perancangan ETP serta Pelan Transformasi Kerajaan.
Katanya perundingan dan perbincangan perlu digantikan dengan tindakan yang membolehkan negara ini mengekalkan pertumbuhan ekonomi 6.0 peratus setahun untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
"Jika tiada tindakan berterusan, ia akan menyebabkan kehilangan kepercayaan," katanya.
Sedang kerajaan telah menetapkan hasilnya, Yeah berkata pelaksanaannya akan dipantau dengan rapi pada tahun depan kerana pencapaiannya akan menentukan hala tuju bagi dekad ini.
"Jika pelaksanaannya tidak mengikut prestasi yang diharapkan, ia bakal memberikan reaksi yang kurang baik daripada para pelabur dan mereka akan terus meminggirkan Malaysia," katanya.
Walau pun terdapat permintaan domestik yang kukuh dan peningkatan sentimen pengguna dan perniagaan, cabaran utamanya ialah untuk mengekalkan keyakinan dan tinjauan pada segi pengambilan pekerja yang stabil dan pertumbuhan pendapatan.
Selain tumpuan terhadap ekonomi, katanya perhatian kemungkinan beralih terhadap kemungkinan diadakan pilihanraya mengejut kerana keadaan ekonomi yang baik.
"Keadaannya kini sebenarnya kondusif bagi pentadbiran sekarang untuk mengadakan pilihanraya mengejut bagi mendapatkan mandat baharu bagi melaksanakan penstrukturan semula atau pembaharuan dan mencapai wawasan di bawah MBE," katanya.
Yeah berkata sektor swasta akan dicabar untuk mencari cara mengekalkan pertumbuhan dan mendapatkan peluang baharu, terutama sekali yang diwujudkan di bawah Bajet 2011, Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) DAN ETP.
Katanya fokus kerajaan untuk memantabkan sektor swasta akan membantu mengekalkan pertumbuhan permintaan domestik.
"Sektor swasta diberi lebih banyak galakan dengan persekitaran dan insentif dasar yang sesuai untuk melabur di Malaysia," katanya.
Di segi negatifnya pula, kata Yeah Malaysia perlu mengakui pertumbuhan yang lemah di dalam ekonomi maju, khususnya di AS dan Eropah.
"Saya rasa keadaan itu akan berterusan bagi tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Yeah berkata Malaysia perlu bergantung pada ekonomi baharu muncul yang besar seperti China, India, Brazil dan Rusia.
Katanya walau pun eksport kemungkinan menjadi perlahan, permintaan domestik mencukupi bagi memastikan pertumbuhan Malaysia terus meningkat pada tahun depan.
Yeah berkata inflasi pada tahun depan kemungkinan pada kadar 2.5 peratus berbanding -2 peratus pada 2010, yang sebahagian besarnya disebabkan rasionalisasi subsidi.
"Permintaan domestik dijangka kekal kukuh pada tahun depan sejajar dengan keadaan ekonomi secara keseluruhannya berikutan pertumbuhan pendapatan yang stabil dan pengambilan pekerja, aliran kredit yang kukuh dan tiada potongan perbelanjaan kerajaan," katanya.
Katanya perbelanjaan awam akan diteruskan terhadap projek di bawah ETP yang akan bermula pada tahun depan.
Yeah berkata cabaran utama sekarang ini ialah bagi menguruskan "wang panas" dengan menyandarkan aliran masuk ini bagi amembiayai projek jangka panjang.
"Jika kita boleh menunjukkan bahawa prospek pertumbuhan Malaysia bagi tempoh beberapa tahun akan datang kukuh dan mampan, mereka akan terus kekal," katanya.
Mengenai ringgit, Dr Yeah berkata ia kemungkinan melepasi paras 3.00 berbanding dolar US menjelang pertengahan tahun depan sejajar dengan mata wang Asia yang lain yang akan turut meningkat secara perlahan-lahan.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan menjangka KDNK akan berkembang pada kadar 5.0 peratus pada tahun depan, yang sebahagian besarnya kerana faktor luaran yang akan melembapkan eksport.
"Secara keseluruhan, kami percaya ekonomi dijangka perlahan sehingga separuh pertama 2011 dan boleh meningkat pada separuh kedua," katanya.
Katanya kebimbangan awal ialah inflasi kerana AS mengeksport inflasinya.
"Dengan mencetak dolar, akan boleh melihat "wang panas" menyerap ke dalam komoditi.
"Ia masih belum membimbangkan lagi tetapi ia menyerap dengan pantas," katanya.
Nazri berkata inflasi kemungkinan besar dicetus oleh tolakan kos.
Katanya inggit kemungkinan melepasi paras 3.00 berbanding dolar US menjelang separuh pertama tahun di tengah-tengah kelembapan dolar US kerana cetakan dolar yang akan menyusutkan nilai mata wang itu.
Katanya ringgit yang lebih kukuh akan membolehkan rakyat Malaysia menggunakan produk diimport pada harga lebih murah dan mengecilkan jurang antara Malaysia dan seberang laut yang secara tidak langsung akan menarik ahli profesional tempatan yang bekerja di seberang laut untuk pulang.
--Bernama
