Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baju 'ketat' Teo, Pak Lah nasihat supaya sensitif
Diterbitkan:  Dec 30, 2010 6:03 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Semua pihak dinasihatkan supaya lebih sensitif ketika menjalankan sebarang aktiviti yang melibatkan agama bagi mengelak ketegangan dalam masyarakat.

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata setiap individu harus berfikir sebelum melaksanakan aktiviti yang boleh menggugat keharmonian negara.

"Tolong beri perhatian kepada perkara sensitif yang menimbulkan keadaan tidak baik. Ambil berat sedikit dengan apa yang nak dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah di Kepala Batas hari ini.

Abdullah, yang juga Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), diminta mengulas laporan akhbar hari ini mengenai tindakan seorang wakil rakyat wanita daripada DAP yang masuk ke pekarangan Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong di ibu negara, dengan memakai baju ketat melakukan senamrobik bersama-sama jemaah masjid tersebut.

Akhbar itu juga turut melaporkan bahawa Anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, dalam blognya www.wretch.cc/blog/teonieching berkata acara senamrobik tersebut adalah program pertama karnival Maal Hijrah anjuran masjid berkenaan.

Sebelum ini,  Teo pernah menimbulkan kontroversi kerana memberi ucapan dalam sebuah surau di Kajang pada Ramadan lepas.

Ditanya sama ada tindakan Teo itu sengaja untuk mengundang kontroversi kerana ini merupakan kali kedua beliau  menyentuh sensitiviti umat Islam, Abdullah berkata: "Kalau cari pasal susahlah. Itu yang kita tidak mahu."

Mengulas mengenai pelantikan Datuk Zainal Abidin Osman sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang dan Datuk Musa Sheikh Fadzir sebagai Timbalan Pengerusi, Abdullah berkata mereka adalah gandingan yang mantap.

"Adalah penting bagi ketua dan timbalan ada persefahaman untuk mencapai kejayaan lebih baik," katanya.

--Bernama

ADS