BERITA Malaysiakini

Dulu haram, sekarang anjur konsert Wali Band

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan hari ini mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri itu membenarkan sebuah kumpulan popular dari Indonesia, Wali Band mengadakan persembahannya di Kota Bharu malam ini yang semata-mata bermotifkan politik.

Ketuanya Anuar Safian berkata memang menghairankan Kelantan yang dahulunya langsung tidak membenarkan konsert seumpama itu diadakan di negeri itu tetapi kini demi mendapat sokongan golongan muda, parti itu sanggup melakukan apa sahaja.

"Dahulu persembahan seperti ini dianggap haram kerana terdapat percampuran lelaki dan perempuan tetapi apa kewajaran sehingga membenarkan kumpulan luar negara pula mengadakan persembahan.

"Apakah tidak akan berlaku percampuran lelaki dan perempuan dan tidak adakah kumpulan nasyid yang hebat di negara kita untuk membuat persembahan seperti ini," katanya selepas majlis sumbangan beg sekolah kepada murid-murid pendidikan khas Pejabat Pelajaran Daerah Kota Baharu di Kota Bharu hari ini.

Majlis itu dianjurkan Biro Sosial dan Etika Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang dipengerusikan Anuar dan penyerahan beg itu disempurnakan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Baharu Che Ab Aziz Daud.

Program amal Palestin

Malam ini kumpulan itu dijadual mengadakan persembahan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV atas nama Amal Cakna Palestin yang dianjurkan Sekretariat Misi Cakna Palestin dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

Penganjurnya semalam berkata persembahan itu merupakan satu lagi usaha untuk memberi peluang kepada orang ramai membantu mangsa kezaliman Yahudi di bumi Palestin.

Mengulas perkara itu, Anuar berkata ia juga seperti membenarkan persembahan pada malam tahun baru dan tidak ada bezanya dengan sambutan di tempat lain.

Pesuruhjaya III PAS Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Abdullah bagaimanapun ketika ditemui enggan mengulas lanjut perkara itu kerana tidak mengetahui secara terperinci intipati persembahan itu.

Dakwah Wali Band

Ketika ditemui pemberita di sini hari ini, ketua kumpulan Wali Band, Sarhan Miftahuddin berkata kumpulan itu bercadang untuk memperluaskan dakwah melalui lagu-lagu bercorak Islam ke seluruh nusantara.

Sarhan, yang juga penyanyi utama, berkata beliau mahu kumpulannya dilihat sebagai gerakan dakwah alternatif bagi menarik golongan sasaran terdiri daripada anak-anak muda melalui muzik.

"Dakwah secara santai ini lebih ringan dan mudah difahami anak-anak muda zaman kini," katanya.

Tiga lagi anggota kumpulan itu ialah Aan Kurnia Maduri (pemain gitar utama); Ikhyan Bestomi Nursalam (pemain dram) dan Hamzah Sasi Hidayat (pemain bass).

Walaupun sudah empat kali mengadakan persembahan di negara ini, namun Kelantan adalah negeri pertama di Pantai Timur yang dikunjungi atas jemputan urusetia Sekretariat Misi Cakna Palestin dengan kerjasama kerajaan negeri.

- Bernama