BERITA Malaysiakini

Khusrin: MB enggan jumpa saya

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Setiausaha kerajaan negeri Selangor yang baru dilantik, Datuk Mohd Khusrin Munawi gagal mendapatkan temujanji bagi berjumpa dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung upacara angkat sumpah jawatannya.

Upacara itu perlu diadakan sebelum beliau boleh menjalankan tugas-tugasnya termasuk mengambil bahagian pada mesyuarat dewan undangan negeri dan tugas ex-officio yang lain.

NONE "Saya telah menulis (kepada Khalid) hari ini, dan juga cuba bercakap dengan setiausaha sulitnya tetapi belum mendapat respon,” katanya kepada wartawan pada sidang media di pejabat barunya di bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Sham Alam.

Meskipun dijangka tidak akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat ini, Khusrin berkata beliau masih boleh menjalankan tugas-tugas termasuk membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, sumber manusia dan perkara-perkara merancang.

"Saya akan buat kerja mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada selagi tiada arahan selanjutnya dari JPA.  Kalau hari ini saya diarahkan pergi (oleh JPA), saya akan pergi...tiada masalah," katanya.

Sambil menyifatkan perkara itu sebagai cabaran besar sepanjang 24 tahun berkhidmat di Selangor, beliau menegaskan tidak mempunyai masalah dan ia juga tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai penjawat awam.

''Saya maklum yang Menteri Besar akan berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan selagi saya tidak diarah balik ke Kerajaan Persekutuan, saya akan jalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. Saya juga telah memohon untuk mengangkat sumpah rahsia di hadapan Menteri Besar melalui surat pagi ini, tetapi masih belum ada jawapan,'' katanya..

Khusrin menegaskan, beliau tidak pernah bersikap rasis dan tidak bermasalah untuk bekerjasama dengan menteri besar dan exco-exco lain.

NONE Beliau juga tidak faham mengapa diserang dan ditohmah sejak mula menjadi Pengarah JAIS oleh beberapa pihak, sedangkan beliau menjalankan tugas mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Katanya, sebagai penjawat awam, beliau tahu peraturan dan tahu apa yang boleh atau tidak boleh dilakukannya.

Pada masa sama, beliau turut menolak dakwaan pelantikannya itu adalah strategi kerajaan BN untuk merampas semula Selangor atau beliau akan bersikap rasis berikutan latar belakangnya sebagai bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). 

"Apa yang saya boleh buat...undi setia saya pun tak boleh saya jamin".

Katanya beliau telah menjadi mangsa serangan peribadi oleh pelbagai pihak sejak bermulanya isu penahanan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah di Selangor pada November 2009.

"Banyak isu negatif dilemparkan terhadap saya yang menggambarkan seolah-olah saya pegawai yang bermasalah, tidak patuh kepada arahan serta mempunyai agenda politik tertentu.

"Perlu ditegaskan bahawa apa yang saya buat sepanjang saya bertugas di Jais dan Mais adalah mengikut undang-undang dan peraturan sedia ada.

"Saya mengakui saya memang ada kekurangan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan percaya masalah itu tidak menjadi halangan bagi saya teruskan khidmat saya sebagai SUK," katanya.

[Baca berita penuh]