Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rumah Rocky dipecah masuk, kereta dilarikan
Diterbitkan:  Jan 7, 2011 3:04 AM
Dikemaskini: 8:36 AM

Rumah Penasihat Editorial Kumpulan Malay Mail Datuk Ahirudin Attan yang juga dikenali sebagai blogger Rocky's Bru dipecah masuk dan kereta jenis Peugeot 470 miliknya dicuri awal pagi ini di Taman Damai Utama, Puchong.

NONE Ahirudin, 49, yang juga Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan ketika dihubungi berkata, kejadian itu berlaku sekitar 3 pagi ketika beliau, isteri dan ibu mentua, dan tiga anak serta tiga anak saudara, sedang tidur.

"Kejadian itu disedari apabila ibu mentua saya bangun kira-kira pukul 5 pagi dan melihat pintu utama rumah terbuka luas," katanya.

Ahirudin berkata bahawa sebaik menyedari perkara itu, ibu mentuanya memanggilnya dan beliau mendapati keretanya yang bernilai lebih RM100,000 dilarikan penjenayah.

Turut dibawa lari jam tangan isterinya yang diletakkan di atas meja di ruang tamu.

"Mungkin barang rumah kami tak banyak, jadi bila nampak kunci kereta mereka terus mengambilnya. Saya bertanya kepada pengawal keselamatan di kawasan perumahan ini dan mereka nampak kereta saya dibawa keluar pukul 3 lebih," katanya.

Ahirudin berkata kawasan perumahannya itu yang terletak dalam Bandar Kinrara baru tiga bulan menggunakan perkhidmatan pengawal keselamatan untuk menjaga kawasan itu.

Katanya beliau percaya insiden itu tidak mempunyai kaitan dengan kerjayanya sebagai wartawan akhbar dan penulis blog.

"Selain jam tangan dan kereta yang dibeli sejak tahun lalu, skuter mainan anak saya yang diletakkan di halaman rumah turut lesap," katanya.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias yang melakukan siasatan di rumah itu berkata polis akan melihat rakaman litar tertutup yang dipasang di hadapan rumah jiran Ahiruddin bagi mengenal pasti suspek.

- Bernama

ADS