Mahfuz: Kadar dividen rendah tanda pengurusan KWSP tidak cekap
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius kemerosotan berterusan bayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak enam tahun lalu dan menganggapnya sebagai petunjuk kepada ketidakcekapan serta kegagalan pengurusan dan pelaburan KWSP.
Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata, walaupun KWSP masih lagi mampu membayar dividen kepada pencarumnya, tetapi kadarnya merosot dari 7.7 peratus pada 1997 kepada 4.25 peratus bagi tahun 2002.
Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP) memandang serius kemerosotan berterusan bayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak enam tahun lalu dan menganggapnya sebagai petunjuk kepada ketidakcekapan serta kegagalan pengurusan dan pelaburan KWSP.
Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar berkata, walaupun KWSP masih lagi mampu membayar dividen kepada pencarumnya, tetapi kadarnya merosot dari 7.7 peratus pada 1997 kepada 4.25 peratus bagi tahun 2002.
"DPP pusat juga tidak menolak kemungkinan kemerosotan ini bertolak daripada penyelewengan yang berlaku dalam beberapa pelaburan KWSP yang dipengaruhi oleh faktor-faktor politik kepartian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pihak pengurusan KWSP telah gagal untuk menguruskan pelaburannya dengan cekap sehingga menyebabkan KWSP tidak dapat mengautkan keuntungan maksimum," tegasnya.
Berikutan itu, DPP mendesak agar pengurusan dan jawatankuasa pelaburan KWSP distrukturkan semula bagi memastikan penyelewengan dapat dibendung dan keuntungan dapat dipulihkan.
Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk mengesan penyelewengan sebenar yang berlaku dalam KWSP.
Sektor berisiko tinggi
"Setidak-tidaknya, sebuah syarikat audit bebas mesti dilantik untuk membongkar punca sebenar kemerosotan keuntungan KWSP sepertimana kerajaan melantik Pricewaterhouse untuk membongkar penyelewengan di Perwaja.
Mahfuz mendakwa, KWSP telah membuat pelaburan dalam sektor-sektor yang berisiko tinggi dan tidak menjamin keuntungan.
"KWSP telah membuat kesilapan apabila dipaksa oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melabur dalam sektor-sektor berisiko tinggi seperti projek LRT dan terbukti LRT tidak memberi pulangan kepada KWSP," tambahnya.
Menurut beliau lagi, KWSP juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas anak syarikatnya, MBSB, yang telah mengalami kerugian besar.
"Dalam masa yang sama, KWSP telah meluluskan pinjaman kepada kerajaan dengan kadar faedah yang rendah sedangkan kerajaan tidak berupaya membayar balik pinjaman tersebut seperti yang berlaku dalam projek Bakun," katanya.
Katanya, atas alasan untuk meningkatkan perbelanjaan kerajaan dalam keadaan ekonomi yang merosot dengan tujuan memulihkannya, dana KWSP telah dipergunakan.
Terus merosot
"Kemudian KWSP dipaksa pula untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kroni termasuk syarikat-syarikat milik Umno ketika kegawatan sedang memuncak.
"Akibatnya, KWSP tidak berupaya mencatat keuntungan, sebaliknya pencarumnya turut menanggung beban kerugian milik kroni-kroni BN. Kesannya kemerosotan (kadar dividen) yang bermula pada 1997 itu terus berlaku sehingga mencecah hanya 4.25 peratus pada 2002, merosot 3.45 peratus dalam tempoh enam tahun," tambah Mahfuz.
Katanya, jika tidak dipulihkan, dalam masa enam tahun lagi, dengan jangkaan kadar kemerosotan yang sama, mungkin dividen KWSP hanya tinggal 0.8 peratus sahaja pada 2008.
Sementara itu, Pusat Penyelidikan Buruh (LRC) berkata kerugian besar KWSP sebanyak RM2.14 bilion tahun lalu, telah mengakibatkan pengurangan pendapatan bersih KWSP kepada RM7.78 bilion.
Keadaan itu telah mengakibatkan penurunan kadar bayaran dividen kepada pencarum, kata penyelaras LRC, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dalam satu kenyataan hari ini.
Peranan KWSP
Katanya, berdasarkan pengalaman menguruskan dana milik para pekerja itu, KWSP seharusnya melabur dalam syarikat-syarikat yang benar-benar stabil, bukannya menjadi sebahagian daripada spekulator mata wang.
Sehubungan itu tambah beliau, LRC menyeru kepada semua pihak supaya melihat kembali peranan dan fungsi sebenar KWSP sebagai sebuah organisasi keselamatan sosial kebangsaan.
Katanya, KWSP adalah sebuah institusi yang diamanahkan oleh pekerja untuk melindungi sebahagian besar pendapatan mereka, justeru ia tidak boleh sewenang-wenangnya 'diperjudikan' untuk mengaut keuntungan.
Sehubungan itu, Khairul Anwar berkata, LRC menyokong penuh rancangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket bagi membantah pengumuman KWSP itu.

