Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua  pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman - ketika membahaskan cadangan meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri - mendakwa kerajaan negeri 'syok sendiri'.

Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana menurutnya ia bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan bermotifkan politik.

NONE Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat perkenan Sultan.

Satim mula membahaskan usul tersebut selepas selesai ucapan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ketua pembangkang itu turut mempersoalkan tindakan Speaker Datuk Teng Chang Khim memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari.

Teng bagaimanapun menegur kembali Satim supaya mengingat peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara atau beliau akan diminta keluar untuk mengingatinya.

Penyokong Pakatan ketawa besar.

Dewan mula bersidang jam 10 pagi. ADUN Pelabuhan Kelang Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan.

Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan pekenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan.

Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.

Ia diikuti dengan ucapan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Menurutnya, berdasarkan perkara 10(3) peraturan dewan, kerajaan Selangor membentangkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Selangor 1959 terhadap perkara 52(1).

Katanya, pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan, kata Khalid.

Pakatan Rakyat, tegas Khalid lagi, memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rukun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini.

Pakatan juga, tambahnya, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Satim berkata percubaan meminda undang-undang tubuh negeri itu hanya membuang masa.

Dalam konteks pelantikan Khusrin, beliau berkata Khalid sendiri tidak menerima pelantikan berkenaan sedangkan ia sudah diperkenankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Ini boleh dianggap derhaka," Satim dipetik sebagai berkata.

Mohamad Satim berkata pelantikan Mohd Khusrin sebagai SUK bukanlah atu isu besar yang menimbulkan satu keadaan darurat sehingga perlu dipinda undang-undang tubuh negeri.

ADS