Kelab Putera 1Malaysia bakal melebarkan sayapnya ke persada antarabangsa dengan menjadikan Australia sebagai negara pertama penubuhan kelab itu.
Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata penubuhan kelab luar negara itu bertepatan dengan kejayaan yang telah banyak dicapai dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan yang melangkaui batas sempadan antarabangsa menerusi siri misi kemanusiaan di beberapa negara.
"Kita sudah bersedia melebarkan sayap berikutan telah memperolehi pencapaian yang membanggakan dengan menjadi badan bukan kerajaan (NGO) yang berjaya di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Malaysia ketika Majlis Ramah Mesra Kelab Putera 1Malaysia bersama pelajar dan rakyat Malaysia di bilik gerakan mangsa banjir di Hawken Drive, St Lucia di Brisbane, malam tadi.
Sebelum ini, kelab itu telah melaksanakan Misi Bantuan Kemanusiaan di Gaza, Palestin dan di Pakistan yang mendapat maklum balas positif dari pelbagai lapisan rakyat Malaysia termasuk pelajar.
Abdul Azeez yang kini mengetuai misi bantuan membantu mangsa banjir yang melibatkan pelajar Malaysia di sini turut memberi keyakinan penubuhan kelab itu akan mengambil kira kepentingan dan kebajikan pelajar dan keluarga Malaysia di luar negara.
Beliau berkata dalam menjayakan usaha murni itu menjadi kenyataan, pihaknya akan memberikan gambaran yang jelas kepada pelbagai pihak termasuk mengesyorkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kelab itu.
Menurutnya negara Australia yang mempunyai lebih 2,000 rakyat Malaysia termasuk pelajar akan menjadi negara pertama penubuhan kelab itu dalam masa terdekat sempena lawatan rasmi Najib ke negara berkenaan yang dijangka pada Mac ini.
"Kesepakatan warga Malaysia khususnya di kalangan pelajar cukup membanggakan dan teruja, saya gembira dan bangga warga kita yang berada di perantauan bersatu hati dan sebab itu kita memilih Australia menjadi kelab (Putera) pertama di luar negara," katanya.
Beliau berkata kerjasama baik antara pelajar dengan pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Australia telah menunjukkan mereka proaktif dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan.
Dalam pada itu, katanya pelajar Malaysia menunjukkan contoh terbaik yang dipuji pihak universiti tempatan dengan berjaya menubuhkan jawatankuasa khas bencana banjir lebih awal daripada negara lain.
Sehubungan itu, beliau berkata sudah sampai masanya kelab berkenaan diperluaskan ke luar negara atas konsep yang direalisasikan oleh Najib iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.
Mengenai misi bantuan berkenaan, Abdul Azeez berkata misi itu berjaya dilaksanakan dalam usaha untuk meringankan bebanan mereka selepas mengalami banjir yang teruk di negeri Queensland.
"Masalah yang dihadapi mereka termasuk kehilangan harta benda adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk dibantu tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
"Ini jelas membuktikan bahawa sekalipun di luar negara kita mampu melakukan misi kemanusiaan dengan berjaya," katanya.
Sementara itu, Atase Pendidikan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Zaharuddin Shamsuddin berkata kesungguhan dan kejayaan misi membantu pelajar di Brisbane amat dihargai dan mendapat kerjasama baik antara pelajar.
Justeru, katanya penubuhan kelab itu di luar negara amat disambut baik agar perpaduan di antara rakyat Malaysia yang berada di luar negara dan di dalam negara sentiasa terjalin.
Zaharuddin turut menyeru pelajar yang sedang bercuti menghubungi pihaknya secepat mungkin untuk memudahkan khidmat bantuan disegerakan.
Seorang pegawai kewangan Bank Negara yang sedang menyambung pelajaran peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan Perbankan Mohammad Zaini Abdul Jabar berkata pelajar dan keluarga yang menuntut di negara ini amat menyokong sepenuhnya usaha murni menjayakan penubuhan kelab itu yang akan memberi kelebihan dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan.
Kelab Putera 1Malaysia kini berada di Australia selama empat hari bagi misi kemanusiaan di Queensland, yang dilanda banjir buruk tiga minggu lepas.
--Bernama
