Most Read
Most Commented
Read more like this

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan hari ini menyokong tindakan mahkamah seorang profesor ekonomi dari Universiti Malaya, Jomo K. S. bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum lalu kerana 680,000 pengundi baru tidak dibenarkan membuang undi.

"Walaupun pilihan raya 1999 baru sahaja berakhir, perjuangan untuk pilihan raya yang bebas dan adil, dan juga untuk meningkatkan mutu demokrasi di Malaysia baru sahaja bermula," jelas Cheah Kah Seng, seorang ahli Pergerakan Rakyat Adalah Bos

di Pulau Pinang.

Beliau menambah kumpulannya akan mengadakan satu sidang akhbar Khamis ini selepas menghantar satu petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tanda sokongan kepada nasib pengundi-pengundi baru.

"Kami suka mengulangi gesaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kepada SPR agar meningkatkan kecekapannya dan untuk mengurangkan unsur-unsur ketidakadilan dalam proses pilihan raya, bagi menjaga imej demokrasi di negara ini," kata Ong Boon Keong, jurucakap bagi NGO tersebut.

Beliau juga menyatakan hasrat organisasi itu untuk mengadakan demonstrasi aman bersempena perbicaraan mahkamah mendengar permohonan SPR mengetepikan saman Jomo pada 20 Disember nanti.

"Kami bertujuan meningkatkan kesedaran ramai dan menggesa semua warga negara ini menyokong pengundi-pengundi baru menunaikan tanggungjawabnya sebagai warganegara," jelas Ong lagi. Petisyen itu termasuklah nama-nama yang dibuang dari senarai dan gagal membuang undi pada 29 November lalu.

"Setakat ini, kami hanya mempunyai empat orang pengundi baru untuk menyokong petisyen ini," jelasnya lagi.

Jomo, baru sahaja berdaftar sebagai pengundi tahun ini, telah menfailkan saman pemula di mahkamah tinggi bagi membatalkan pilihan raya umum lalu dengan alasan bahawa hak beliau dan lebih 680,000 pengundi baru telah dinafikan.

SPR sebaliknya menfailkan satu permohonan balas bagi mengetepikan saman itu selepas badan itu menjawab dalam hujah terdahulu pada 23 November, bahawa tindakan Jomo itu sebagai menyalahgunakan proses mahkamah dan dianggap "main-main dan menyusahkan."

ADS