Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TLDM nafi kos pembelian kapal LCS tinggi
Diterbitkan:  Feb 9, 2011 10:40 AM
Dikemaskini: 10:48 AM

Harga material yang meningkat selain aspek persenjataan dan penderiaan canggih yang dilengkapkan pada enam kapal jenis Littoral Combat Ship (LCS), menyebabkan kos pembinaannya tinggi hingga mencecah RM6 bilion, kata Panglima Tentara Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Beliau berkata, kapal LCS yang akan dibina oleh syarikat tempatan Boustead Naval Shipyard di negara ini dengan kerjasama enam limbungan terkemuka dari luar negara itu, mempunyai keupayaan yang jauh lebih baik berbanding Kapal Peronda Pesisir Pantai (OPV) yang digunakan TLDM sekarang.

NONE "Kos itu merangkumi kos keseluruhan pembinaan kapal termasuk aspek persenjataan canggih, penderiaan dan radar berkeupayaan tinggi dan mempunyai sonar yang dapat mengesan kapal selam musuh.

"Industri pertahanan negara sedang membangun dan banyak bergantung kepakaran negara luar dan ini adalah punca utama kos harga kapal menjadi tinggi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan ahli parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, dalam portal Malaysiakini bahawa harga pembelian enam kapal itu adalah 870 peratus lebih mahal berbanding pembelian sama oleh negara lain.

Abdul Aziz berkata, kenyataan Pua yang mendedahkan kos pembelian negara lain juga tidak menggambarkan harga sebenar kerana kebanyakan negara tidak akan mendedahkan aset sebenar ketenteraan mereka.

"Selain itu, kos negara luar yang jauh lebih rendah mungkin kerana mereka ada industri pertahanan yang sangat kukuh dan menggunakan kepakaran tempatan dalam penyelenggaraan kapal dan pemasangan sistem penderia dan persenjataan.

NONE "Kos yang diwar-warkan juga tidak menggambarkan keseluruhan kapal, sebagai contoh sesetengan negara tidak memasukkan kos Kerajaan Lengkap Peralatan (GFE)," katanya.

Dalam laporan tersebut juga, Pua turut mendedahkan perolehan OPV bagi Tentera Laut New Zealand hanya berharga NZD$90 juta, namun berdasarkan sumber Kementerian Pertahanan Malaysia, jumlah sebenar harga OPV dan LSC di negara tersebut masih belum muktamad malah harga yang didedahkan adalah harga sebelum 2004.

"Pua berkata perolehan LSC Tentera Laut Amerika Syarikat juga jauh lebih rendah walaupun berkeupayaan tinggi. Namun sebenarnya menurut Perkhidmatan Penyelidikan Kongresional, perolehan aset tersebut jika diambil kira kos keseluruhan adalah meningkat setiap tahun bermula tahun 2005.

"Perbandingan yang dikeluarkan Pua tidak berasas kerana beliau tidak mengetahui lebih mendalam tentang aspek pembinaan, persenjataan dan pertahanan negara," katanya.

NONE Abdul Aziz berkata, pembinaan kapal tersebut melalui proses tender terbuka yang akan membabitkan 60 peratus barangan tempatan yang akan dibuat dalam dua Rancangan Pembangunan Malaysia iaitu Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) selama 10 tahun.

Beliau berkata, TLDM sangat memerlukan kapal LCS yang berkeupayaan tinggi dengan mempunyai tiga dimensi iaitu permukaan, udara dan bawah laut untuk mempertahankan perairan negara.

Berbanding OPV yang hanya kapal pesisir, LCS akan dilengkapi dengan sistem pertahanan yang canggih seperti sistem kawalan dan pemerintahan, sistem peperangan elektronik, sistem penggerak enjin pelbagai kawalan, radar penjejak, radar pengesan tiga dimensi, peluru berpandu dalam laut dan udara dan terpedo anti kapal selam.

Negara lain yang turut menggunakan LCS antaranya, Amerika Syarikat dan England.

 - Bernama

ADS