Sistem transkripsi rakaman mahkamah (CRT) akan dilaksanakan sepenuhnya di semua mahkamah di seluruh negara pada Mac ini, kata Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi.
Beliau berkata bagi sistem pendaftaran kes, yang dinamakan e-mahkamah, juga akan dilaksanakan pada bulan depan tetapi hanya untuk mahkamah di Kuala Lumpur kerana sistem itu masih di peringkat percubaan.
Mengenai CRT, katanya, ia tidak lagi memerlukan hakim menulis seperti kebiasaannya kerana semua butiran perbicaraan akan ditranskrip dan direkod secara elektronik melalui rakaman percakapan dan video dalam perbicaraan.
"Ia akan membolehkan hakim menumpukan sepenuh perhatian bagi melihat gerak reaksi saksi serta pihak yang berkenaan tanpa perlu terganggu dengan tugas menulis. Ia juga memudahkan kesemua pihak yang berkenaan di samping dapat mempercepatkan perjalanan kes.
"Ini kerana menerusi sistem baru itu, terdapat seorang jurutranskrip yang akan menaip secara terus dengan hakim dapat melihatnya di paparan skrin komputer yang ditempatkan di hadapan mereka," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kompleks Mahkamah Kota Baharu, di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ariffin Zakaria.
Projek CRT itu adalah sebahagian daripada rancangan kerajaan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kehakiman untuk rakyat, yang merangkumi dua skop utama iaitu pembangunan aplikasi Sistem Pengurusan Kes (CMS) dan CRT selain pembekalan infrastruktur sokongan termasuk komputer.
Keseluruhan projek tersebut berharga kira-kira RM100 juta.
Mengulas mengenai e-mahkamah pula, Zaki berkata sistem itu memudahkan pendaftaran bagi setiap kes tanpa peguam atau pendakwa raya pergi ke pejabat pendaftar mahkamah.
"Ia lebih kepada sistem tanpa kertas dan ia lebih memudahkan kepada rakyat kerana sistem itu sama fungsi seperti sistem pendaftaran elektronik agensi kerajaan yang lain," katanya.
Beliau berkata sistem itu akan diperluaskan pada masa akan datang ke mahkamah di Shah Alam, Pulau Pinang, Johor Baharu dan Ipoh, iaitu mahkamah yang sentiasa berhadapan dengan kes-kes yang banyak.
- Bernama
