Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS hari ini membentuk satu piagam yang menggariskan jaminan parti itu ke atas komitmen mengupayakan bangsa Melayu.

Jaminan berkenaan dikemukakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kertas kerja yang dibentangkan terdahulu dalam satu konvensyen di Shah Alam hari ini.

Kertas kerja itu menumpukan jaminan PAS dari sudut kedudukan politik, kedudukan ekonomi dan kedudukan agama Islam.

pas convention shah alam 190211 panelists Konvensyen hari ini juga diadakan bagi melaksana strategi serampang dua mata PAS – mengukuhkan sokongan pengundi tradisi Melayu-Islam dan meraih sokongan pengundi baru dari kalangan warga muda.

Dalam kertas kerja itu, Abdul Hadi menekankan "penyahan prejudis" terhadap PAS serta usaha untuk menjelaskan "cita-cita murni" parti itu dan juga menghadapi persepsi yang tergambar ke atasnya.

Abdul Hadi menyatakan, persepsi itu termasuk "PAS kononnya luntur dalam perjuangan Islamnya kerana diperkudakan rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya DAP."

Realiti baru

Pembentangan itu turut dibincangkan oleh anggota panel yang mengulas hujah Abdul Hadi daripada sudut pandangan berbeza.

Salah seorang anggota panel itu, Wong Chin Huat berkata, PAS perlu berhadapan dengan dakwaan seperti itu dalam menempuh realiti baru dalam lanskap politik semasa.

Katanya, perubahan lanskap politik ini boleh dilihat berdasarkan pencapaian PAS di kawasan-kawasan yang ditandingi parti itu sejak tahun 1955.

Sejak tahun itu, PAS sentiasa menang di kawasan yang majoriti pengundinya dibentuk oleh masyarakat Melayu-Islam, kata Wong.

pas convention shah alam 190211 nik abdul aziz nik mat at podium Namun, realiti kini menunjukkan bahawa kawasan parlimen yang mencatat prestasi paling baik ketika pilihan raya umum 2008 ialah kawasan Kota Raja di mana majoriti pengundinya terdiri daripada bukan Islam.

Katanya, PAS boleh menangkis persepsi seperti itu dengan menjadi sebuah parti Islam demokrat.

Jelasnya, melalui pendekatan itu, PAS perlu menjamin nilai-nilai konservatif yang sesuai dengan nilai daripada agama konservatif lain.

Isu-isu seperti pengambilan arak, kegiatan maksiat dan judu, umpamanya, perlu dijelaskan dengan alasan yang munasabah mengikut fahaman lain.

Kesannya, PAS akan mendapat manfaat dalam menyebarkan nilai Islam dan juga bagi meraih pengaruh daripada golongan muda.

"PAS masih belum kuat dalam generasi muda. Masih belum ramai generasi muda yang dapat bercakap dalam bahasa yang sama dengan PAS.

"Orang muda ini lebih suka dipujuk dan bukannya dipaksa," katanya lagi.

Penjelasan Wong itu dipercayai berhubung pendekatan yang sering diambil PAS dalam menangani kegiatan anak muda seperti bantahan yang dilakukan oleh sayap pemuda parti itu ke atas penganjuran konsert dan juga sambutan Hari Valentine.

Berdepan atau elak?

Sementara itu, seorang lagi anggota panel, Saifuddin Nasution berkata, PAS kini perlu memilih sama ada untuk berdepan dengan Umno dalam isu-isu melibatkan kaum Melayu atau terus mengelak daripada membicarakan soal berkenaan.

Setiausaha agung PKR itu berkata, PAS perlu membuat pilihan itu memandangkan Umno akan terus mendapat kelebihan apabila isu seperti itu dibangkitkan.

Isu berkenaan akan terus menghantui PAS dan Pakatan Rakyat sekiranya tidak dihadapi.

pas convention shah alam 190211 crowd story image "Kalau elak, belum tentu sokongan bertambah. Tapi kalau berdepan, belum tentu akan kurangkan undi Melayu," katanya lagi dalam sesi perbincangan sama.

Jelasnya, PAS perlu menggariskan strategi bagi "memusnahkan" dogma berhubung slogan Ketuanan Melayu sekiranya parti itu memilih untuk berdepan dengan Umno dan "NGO lain seirasnya" dalam soal melibatkan kepentingan masyarakat itu,

"Risikonya besar," kata Saifuddin lagi yang menegaskan bahawa, PAS perlu mempunyai strategi bagi menghadapi isu yang berbentuk emotif seperti itu.

PAS juga perlu mengenalpasti kumpulan sasarannya untuk menjelaskan isu berkenaan.

Kumpulan yang paling terkesan dari sudut emosi berhubung isu seperti ini ialah golongan muda dan masyarakat Melayu berpendapatan rendah.

Dalam usaha itu, PAS perlu menghadapi NGO yang terdiri daripada golongan menengah seperti PERKASA yang menjuarai isu tersebut, kata Saifuddin lagi.

Terdahulu, satu lagi kertas kerja bertajuk 53 Tahun Merdeka-Hak Melayu Terhakis telah dibentangkan oleh seorang lagi pemikir, Professor Abu Bakar Abdul Hamid.

Ia turut dibincangkan oleh dua ahli panel – ahli jawatankuasa PAS pusat Datuk Kamarudin Jaffar dan juga presiden Teras Pengupayaan Melayu, Azmi Abdul Hamid.

ADS