BERITA Malaysiakini

Gegaran kecil di Pusat Bandar Damansara

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Satu gegaran kecil berlaku di dua daripada enam blok bangunan di kawasan sekitar bangunan pejabat di Pusat Bandar Damansara di Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang ramai mengenai berlakunya gegaran kira-kira jam 12.45 tengah hari.

"Setibanya di lokasi, orang ramai di bangunan tersebut serta bangunan berhampiran mula menyelamatkan diri ke kawasan tanah lapang.

"Mereka mendakwa berlakunya gegaran di tingkat enam bangunan A dan E yang menempatkan sebuah kolej (Kolej Universiti MAHSA)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya kemudian melakukan operasi pemantauan di tingkat lima, enam dan tujuh bangunan tersebut bagi mengesan sebarang gangguan namun tiada sebarang kerosakan harta benda berlaku.

Katanya, orang ramai dibenarkan memasuki bangunan itu semula kira-kira satu jam selepas ujian keselamatan selesai dilakukan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Meteorologi berkata, pihaknya membuat pemeriksaan melalui sistem mereka di kawasan terbabit namun tiada sebarang tanda gempa atau gegaran berlaku.

"Dalam tempoh dua jam sejak kejadian ini dilaporkan, kami membuat pemeriksaan bagi mengesan sebarang tanda atau kehadiran gempa serta gegaran tetapi kami tidak menemui apa-apa.

"Kami tidak menolak kemungkinan wujudnya kerja pembinaan di kawasan terbabit yang membawa kepada gegaran itu," katanya.

- Bernama