Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Asal usul nama pekan kecil Chin Chin
Diterbitkan:  Mar 3, 2011 7:16 PM
Dikemaskini: 11:17 AM

Pemandu yang melalui jalan Jasin-Tanggak, pasti tidak akan terlepas pandang papan tanda tertera perkataan "Chin Chin".

    

Nama pekan kecil ini jika sekali fikir mungkin orang beranggapan asalnya daripada nama orang Tionghua yang membuka petempatan di situ kerana dipenuhi peniaga Cina.

    

Namun menurut cerita penduduk, ia tiada kaitan dengan nama orang, sebaliknya tempat itu dinamakan sempena satu peristiwa yang berlaku lama dahulu.

Chin Chin seperti pekan dan petempatan lain di kawasan Dewan Undangan Negeri Merlimau, kini menjadi tumpuan, disebabkan pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ.

    

Zainal Abd Wahid, 65, berkata tapak asal di situ ialah Kampung Chin Chin sebelum dikelilingi beberapa kampung lain seperti Kampung Chenderah, Kampung Chin Chin Tengah, Kampung Chin Chin Hulu serta Kampung Chin Chin Loji Air.

    

Kampung Chin Chin dipercayai dibuka sekitar tahun 1600 dan masih ada batu nisan yang diperbuat daripada tanah merah menandakan penduduk asal kampung itu di kawasan tanah perkuburanya.

    

Menurut cerita yang diperturun dari generasi ke generasi, Chin Chin ialah ejaan lama perkataan "cincin" yang berasal daripada peristiwa rombongan meminang seorang gadis, yang terjatuh cincinnya di sungai.

    

"Masa itu hendak pergi ke mana-mana semua menggunakan sungai, naik sampan. Sampan masa dulu tidak sebaik sampan sekarang, dulu buat sampan guna kayu bulat yang ditebuk. Sampan itu langsung tidak stabil.

    

"Ketika rombongan itu naik atas sampan yang bergoyang-goyang, cincin yang dibawa terjatuh ke dalam sungai," katanya.

    

Cincin itu tidak dijumpai walaupun anggota rombongan berusaha mencarinya. Sejak itu kampung di situ dinamakan Kampung Chin Chin.

    

Muhiddin Md Nor, 57, berkata Chin Chin pada era 60-an dan 70-an hanya kawasan ladang getah dan kelapa sawit yang dihubungkan dengan jalan tanah merah.

"Masa itu hendak ke mana-mana harus melalui jalan itu, naik basikal besar yang orang di sini panggil basikal "kargo".

    

"Pakcik dengan kawan-kawan termasuk Zainal naik sampai lima enam orang, dan sekali langgar batu besar terus jatuh semua," katanya.

Beliau berkata pada zaman itu, hasil getah dan kelapa sawit diangkut menggunakan basikal tetapi ada juga penduduk yang berkemampuan menggunakan motosikal jenis "Honda C70" untuk mengangkut hasil melalui jalan tanah merah.

Katanya pada zaman itu, Chin Chin tidak memperoleh bekalan elektrik dan air, tetapi ada sesetengah rumah menggunakan generator.

    

Kini situasi itu tinggal kenangan kerana kawasan ini sudah banyak berubah, jalan yang dahulu merah kini bertukar gelap dengan turapan tar sekaligus memudahkan kehidupan harian penduduk.

    

"Tiang lampu berderet di tepi jalan, semua kawasan Chin Chin dapat bekalan elektrik dan juga air," katanya.

Kemudahan lain turut disediakan seperti sekolah, balai raya, tabika dan balai polis.

    

"Pembangunan di kawasan ini berjalan rancak malah baru-baru ini ada projek pelancongan baru di sini, projek taman tema air, sesuai jika jadikan Chin Chin kawasan pelancongan kerana kawasan ini banyak nilai tradisional," katanya.

    

Amileen Natasha Rosli, 22, amat teruja untuk pertama kali mengundi dalam pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau pada Ahad ini, untuk memilih seorang wakil rakyat yang mampu menjadikan kawasan Chin Chin maju dalam sektor pelancongan.

"Saya ingin kawasan ini berkembang menjadi kawasan pelancongan, banyak rumah di kawasan ini juga sesuai dijadikan homestay kerana rumah tradisional dan persekitaran pun bagus," katanya.

    

Tay Bon Kiat, 58, berkata Chin Chin sememangnya sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan tetapi kemudahan awam seperti jalan raya perlu diperbesar.

"Ini bagi membolehkan kenderaan keluar masuk dengan selesa, jalan tar mesti ditambah di kampung dan perbaiki jalan yang rosak," katanya.

Menurut Daftar Pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pada 27 Disember tahun lepas, (daerah mengundi) Chin Chin mempunyai seramai 2,151 pengundi daripada 10,767 pengundi keseluruhan DUN Merlimau.

    

Seramai 1,625 pengundi atau 75.5 peratus berbangsa Melayu, Cina (301 pengundi/13.99 peratus), India (221 pengundi/10.27 peratus), bumiputera Sabah dan Sarawak (2 pengundi/0.1 peratus) dan Orang Asli (1 pengundi/0.05 peratus).

    

Dalam pilihan raya kecil Ahad ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38.

Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, dari BN pada 20 Jan akibat serangan jantung.

- Bernama

ADS