BERITA Malaysiakini

ADUN Lenggeng bersalah atas tuduhan rasuah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ADUN Lenggeng, Mustafa Salim hari ini didapati bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

NONE Beliau didapati bersalah atas tuduhan berkenaan oleh Mahkamah Sesyen Seremban pagi ini.

Sehubungan itu, mahkamah pada petang ini memutuskan supaya hukuman ke atas wakil rakyat itu ditetapkan pada 1 April.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Sesyen Amran Jantan.

Beliau didakwa telah melakukan kesalahan itu di sebuah restoran di Mantin pada 31 Ogos, 2008.

ADUN Umno itu didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Tuduhan tersebut membawa hukuman penjara antara 14 hari hingga 20 tahun dan didenda lima kali jumlah rasuah atau minimum RM10,000.

NONE

Hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas Mustafa mungkin akan menyebabkan beliau hilang kelayakan ke atas kawasan yang diwakilinya itu.

Perkara 48(1)e) dalam perlembagaan persekutuan menggariskan bahawa kelayakan seseorang wakil rakyat akan gugur sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah serta dipenjara melebihi setahun atau denda melebihi RM2,000.

Terdahulu, mahkamah yang bersidang pada pagi ini turut membebaskan Mustafa, 51, daripada dua lagi tuduhan menerima rasuah.

Satu daripadanya melibatkan tuduhan melakukan kesalahan menerima rasuah sebanyak RM3,000 yang didakwa dilakukan pada 28 Ogos, 2008.

Satu lagi tuduhan itu melibatkan kesalahan menerima rasuah sebanyak RM2,000 yang didakwa dilakukan di satu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 30 Ogos, 2008.