Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa para mufti supaya mengeluarkan satu fatwa mengenai kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang membenarkan penahanan tanpa pembicaraan.

Timbalan pengerusi Gerakan Mansuh ISA (GMI), Zahir Hassan berkata sehingga ini mereka telah bertemu dengan mufti dari Kedah, Terengganu dan Wilayah Persekutuan untuk meminta pihak mufti mengambil langkah tegas terhadap undang-undang yang kontroversial itu.

"Dalam pertemuan dengan pihak mufti, kami mengemukakan alasan-alasan mengapa kami berpendapat perlunya dikeluarkan fatwa bagi mengisytiharkan ISA bercanggah dengan Islam. Antara lain, kami menjelaskan kepada mereka bahawa undang-undang ini menafikan hak asasi seseorang itu untuk membela dirinya dan ini bercanggah dengan sistem keadilan yang dianjurkan oleh Islam," katanya.

Zahir melahirkan harapannya semoga pihak mufti akan mengeluarkan satu fatwa khusus berhubung penahanan aktivis reformasi Mohd Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Hishamuddin Rais, Saari Noor Sungib, Dr Badrulamin Bahrom dan Lokman Nor Adam.

Keenam-enam mereka ditahan pada 2001 kerana didakwa merancang untuk menumbangkan kerajaan secara militan. Bagaimanapun, mereka menyangkal dakwaan tersebut.

Perintahan tahanan dua tahun ke atas mereka akan tamat bulan depan tetapi pihak kerajaan mempunyai kuasa untuk menyambungnya jika keenam-enamnya masih dianggap ancaman kepada keselamatan negara.

Buku Saari

Zahir berkata pertemuan dengan pihak mufti setakat ini adalah menggalakkan dan mereka berpendapat isu berkenaan cukup penting untuk dibawa ke perhatian Majlis Fatwa Kebangsaan , yang menjadi badan tertinggi Islam di negara ini.

Dalam pertemuan dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Profesor Muhammad Yusuf Hussain di Pusat Islam hari ini, Zahir juga menyerahkan penyelidikan mengenai Islam dan ISA, oleh salah seorang tahanan tersebut, Saari.

Katanya, penyelidikan setebal 187 halaman itu, yang menganalisa undang-undang berkenaan dari perspektif Islam, telah dibukukan dengan tajuk "ISA Undang-undang haram dan wajib dimansuhkan ISA, Apa pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan?

Selepas pertemuan tertutup selama 40 minit dengan perwakilan GMI, Yusuf beritahu malaysiakini bahawa ISA adalah satu isu nasional.

"Saya telah menasihatkan gerakan itu (GMI) supaya merujuk perkara itu kepada Majlis Fatwa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Dr Ismail Ibrahim dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Apabila dibawa ke peringkat kebangsaan, jadi saya tiada masalah untuk memulakannya dari sana," katanya.

Sebagai Mufti Wilayah Persekutuan, Yusuf juga menganggotai majlis itu, yang turut dianggotai oleh para mufti dari negeri-negeri lain.

Ketidakadilan

Yusuf juga memberi jaminannya bahawa beliau akan meneliti penyelidikan Saari dan mempertimbangkan rayuan wakil GMI, Zahir, Noh Syed Ibrahim Syed dan isteri Saari, Aliza Jaafar ( gambar ).

Menurut Zahir, wakil GMI memberitahu Yusuf bahawa ISA membenarkan kerajaan menahan seseorang tanpa had tempohnya, berdasarkan kepada maklumat sebelah pihak.

"Ia bercanggah dengan semua nilai-nilai Islam dan membuka pintu ketidakadilan kepada mangsa dan keluarga mereka," tegasnya.

"Kami juga memberitahu beliau bahawa semua jalan perundangan telah digunakan untuk mengisytiharkan undang-undang itu tidak sah.

"Ini semua dilakukan walaupun Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penahanan aktivis reformasi itu dibuat dengan niat jahat.

Penderitaan

"Malahan, Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) telah menasihatkan kerajaan supaya menghapuskan undang-undang itu dan Lembaga Penasihat ISA turut mengesyorka supaya tahanan berkenaan dibebaskan. Tetapi semua ini gagal membebaskan tahanan tersebut," keluhnya.

Sementara itu, Aliza memberitahu mufti berkenaan mengenai kesukaran harian yang dihadapi oleh keluarga tahanan terbabit.

"Saya memberitahu beliau mengenai penderitaan saya dan anak-anak menunggu kepulangannya (Saari). Kesukaran untuk menenangkan anak-anak yang bertanya mengenai ayah mereka hampir setiap hari. Saya harap mufti memahami penderitaan yang kami lalui," tambahnya.

GMI kini melancarkan kempen mendapat sokongan bagi pembebasan aktivis reformasi tersebut dengan menganjurkan siri aktiviti sehingga 1 Jun depan, termasuk ke Pusat Tahanan Kemunting di Taiping, Perak tempat di mana aktivis reformasi itu menjalani perintah tahanan itu.