Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rukun Negara dicadang dilafaz selepas Negaraku
Diterbitkan:  Mar 5, 2011 6:39 PM
Dikemaskini: 11:03 AM

Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye mencadangkan agar ikrar Rukun Negara dilafazkan selepas nyanyian lagu Negaraku di semua majlis rasmi kerajaan dan swasta.

"(Ini) bagi membolehkan rakyat menghayati isi dan semangat Rukun Negara sebagai tunggak tatasusila rakyat Malaysia. Dengan berbuat demikian, kita  dapat menerapkan nilai-nilai Rukun Negara dalam hati sanubari setiap individu yang bersedia menjadikannya sebagai cara hidup rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

NONE Anggota pemegang amanah Yayasan 1Malaysia itu juga berkata kesedaran mengenai Rukun Negara serta semangat Rukun Negara sebagai tunggak tatasusila rakyat Malaysia sangat rendah.

"Amalan lafaz ikrar Rukun Negara ini membolehkan rakyat lebih menekankan dan menghayati setiap prinsip yang terkandung di dalamnya selain daripada nyanyian lagu Negaraku untuk mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum sejajar dengan proses pembinaan negara," katanya.

Beliau juga berkata prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi tunggak kepada prinsip kenegaraan telah menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, seharusnya disemaikan di dalam semangat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan.

"Rukun Negara adalah panduan kita sebagai warganegara terhadap proses membangunkan negara dan ia hendaklah dihormati oleh semua pihak. Ia merupakan satu wawasan yang dikongsi demi perpaduan negara," katanya.

Lee berkata prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya hendaklah didukung dan dipraktikkan kerana kita sebagai rakyat Malaysia tidak boleh memandang ringan terhadap kestabilan, keamanan dan keharmonian negara yang telah dicapai sekarang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS