Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerdau p'raya 'paling melampau', kata Tuan Ibrahim
Diterbitkan:  Mar 6, 2011 9:31 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa, parti itu tewas dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau disebabkan peningkatan jumlah para pemilih.

"Bagaimanapun daripada sudut jumlah undi di tiga kawasan Felda, ada peningkatan," katanya dalam sidang media di markaz PAS di Kerdau malam ini selepas keputusan rasmi diumumkan.

Ditanya sama ada keputusan hari ini menunjukkan PAS kehilangan undi Melayu, Tuan Ibrahim menafikannya kerana Kerdau merupakan kubu kuat BN.

azlan "Dengan segala jenteranya, agak sukar bagi kita. Bagi saya ini cuma kemerosotan kecil," katanya lagi.

Tuan Ibrahim juga terus menyatakan perasaan tidak puas hati kepada perjalanan proses pilihan raya kali ini sebagai "pilihan raya paling melampau".

Justeru, tambahnya, PAS akan menyarankan supaya dilakukan reformasi melalui program pemutihan pilihan raya Bersih 2.0 .

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menafikan dakwaan Pakatan gagal menterjemahkan kandungan Buku Jingga dalam pilihan raya kali ini.

Beliau memberi alasan, pilihan raya Kerdau lebih tertumpu kepada isu tempatan.

Sementara itu, exco kerajaan tempatan Selangor Ronnie Liu pula berkata Pakatan tidak perlu susah hati kerana ujian sebenar adalah dalam pilihan raya umum.

Ditanya tentang sokongan undi Cina di Kerdau kali ini, Ronnie berkata perkara itu tidak dapat diukur kerana bercampur dengan kaum lain dalam satu daerah mengundi.

Calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi kemenangan besar dengan majoriti 2,724 undi, menewaskan Hassanuddin yang mendapat 2,336 undi.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam ini.

Majoriti kemenangan BN itu menunjukkan parti itu berjaya mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi.

Ia juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008.

Pilihan raya kecil itu turut mencatatkan jumlah keluar mengundi sebanyak 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.

ADS