Aliran menerbitkan satu laporan kewangan yang lengkap bagi menolak dakwaan bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid, yang menuduh badan bukan kerajaan itu pernah menerima bantuan kewangan dari bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Subramaniam S. Pillay, yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kewangan Aliran, menjelaskan dakwaan itu sebagai "satu pembohongan besar dan palsu semata-mata."
Murad, dalam satu akuan bersumpah pada 26 Oktober tahun ini, mendakwa Aliran dan bekas Presidennya Dr Chandra Muzaffar menerima RM5 juta dari Anwar antara tahun 1992 hingga 1997.
"Kami dengan bangga menyatakan bahawa kami tidak pernah satu sen pun menerima bantuan kewangan dari mana-mana parti dalam Barisan Nasional, apatah lagi Anwar," jelas Bendahari Kehormat pertubuhan tersebut.
Beliau menjelaskan lagi bahawa sumber utama pendapatan badan itu datangnya dari jualan majalah bulanan, Aliran Monthly , dan juga derma dari pembaca, bukannya dari tokoh korporat atau kerajaan.
"Dasar kami sejak dahulu lagi mengutamakan sikap berdikari dari sudut kewangan," kata Subramaniam. "Kami sedar bahawa kebebasan kami ini banyak bergantung pada keupayaan kami untuk mempunyai sumber kewangan sendiri."
Aliran selalu menerbitkan penyata kewangannya dalam majalah Aliran Monthly sejak lapan tahun lalu. Subramaniam berkata, kecuali tahun 1998 dan 1999, pertubuhan itu mempunyai akaun yang defisit.
"Namun begitu, derma dari ahli dan orang ramai berjaya menampung kekurangan tersebut," katanya.
Pendapatan utama organisasi ini datangnya dari jualan bahan-bahan penerbitannya yang meningkat secara ketara sejak dua tahun terakhir.
Mengenai kenaikan mendadak jualan Aliran Monthly selepas Anwar dipecat, Subramaniam dengan pantas menambah, "kami pasti bukan itu yang dimaksudkan oleh Murad ketika beliau menuduh Anwar membantu Aliran!"
Subramaniam berkata, bangunan pejabat baru badan itu yang berharga RM438,263.10 dibiayai melalui tiga sumber: ahli, orang ramai dan Misereor, sebuah pertubuhan Kristian dari Jerman.
"Sumbang Misereor, dalam tempoh empat tahun berjumlah RM182,447.96, merupakan 42 peratus jumlah keseluruhan bangunan ibupejabat itu. Sumber kewangan selebihnya ditampung oleh pembaca Aliran Monthly dan ahli-ahli," jelasnya.
Menurutnya, tidak ada seorang individu yang pernah menyumbang melebihi RM2,500 dalam tempoh setahun.
"Dari penyata kewangan itu, semua orang boleh melihat bahawa kami tidak memerlukan RM5 juta dari Anwar atau sesiapa sahaja untuk beroperasi." tambah Subramaniam.
Murad, katanya, tidak menunjukkan "sekelumit bukti pun untuk menyokong dakwaannya."
"Sesiapa sahaja boleh mendakwa apa sahaja tetapi untuk memastikan dakwaan itu betul, ia mestilah disertakan bukti yang kukuh," katanya.
Aliran, sebuah pertubuhan yang menyokong reformasi ditubuhkan sejak 1977, merupakan badan bukan kerajaan yang dedikasi memperjuangkan keadilan dan kebebasan. Berpandukan nilai-nilai sejagat, badan itu berjuang untuk menyatukan masyarakat dengan cara mempromosikan keadilan sosial dan kemuliaan insan di Malaysia.
Aliran telah menfailkan saman terhadap Murad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 November lalu.
