BERITA

Hassan Ali: Tiada larangan tutup kedai ekor di S'gor

Diterbitkan
Dikemaskini 12 Mac 2011, 1:57 pagi

Kerajaan negeri Selangor akan menggunakan pendekatan tersendiri dalam menangani penjualan tiket loteri di negeri itu tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak, lapor TV Selangor .

NONE Memetik pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Mohamed Ali yang juga ahli exco, menurut laporan itu, kerajaan negeri akan mendapatkan maklum balas ulama dan pengamal undang-undang, serta pakar dalam bidang berkaitan sebelum merumuskan sebarang keputusan.

Bagaimanapun kata Hassan, keadaan di Selangor tidak boleh disamakan dengan di Kelantan.

Beliau yang juga exco hal ehwal Islam, adat-adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam berkata orang Islam di Selangor diharamkan daripada membeli nombor ekor dan tiket loteri seperti yang termaktub dalam Enakmen Undang-Undang Islam kerajaan negeri.

Katanya, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) juga boleh mengambil tindakan terhadap orang Islam yang berjudi, meminum arak atau pun melakukan maksiat di tempat terbuka.

jais jabatan agama islam selangor 271106 Ditanya mengenai kegiatan pihak tertentu mengedar risalah tilik nasib dan nombor ramalan empat ekor yang memaparkan pengalaman orang Islam yang kononnnya memenangi hadiah, Hassan berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat Jais tidak lama lagi bagi mengenal-pasti bentuk tindakan.

Isu ini menjadi sesuatu yang hangat kepada Pakatan Rakyat apabila ia dieksploitasikan oleh MCA dan Gerakan yangh mendakwa tindakan kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin PAS mengeledah kedai menjual tiket loteri - sesuatu tindakan yang dianggap mengekang kebebasan bukan Islam.

Mereka mendakwa ia bukti bahawa PAS akan memperkenalkan lebih banyak dasar-dasar Islam jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.