Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Yayasan Pelajaran MARA (YPM) hari ini menggesa Wisma Putra dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan segera berhubung tahap keselamatan warga Malaysia untuk terus berada di Jepun.

Pengarah projek untuk Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi yayasan itu, Mohamad Muda berkata, keputusan perlu dibuat segera memandangkan YPM akan menghantar seramai 84 orang pelajar lagi ke negara itu menjelang akhir bulan ini.

"Saya minta Wisma Putra buat keputusan segera, sebab kita mahu hantar pelajar lagi pada 19 dan 20 Mac.

"Kita juga dalam keadaan dilema sekarang... Kalau ada hitam putih kata kita tidak boleh pergi, barulah kita tunda (penghantaran pelajar).

"Setakat ini kita cuma tunggu keputusan Wisma Putra dan MKN kalau tidak ada kita akan hantar pelajar macam biasa," kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Peningkatan kadar radiasi kini dikesan di ibu negara Jepun setelah gempa bumi yang melanda negara itu sejak empat hari lalu menyebabkan siri letupan di loji janakuasa nuklearnya.

Radiasi yang dikesan itu menyebabkan sebahagian penduduk kota Tokyo meninggalkan bandar berkenaan manakala sebahagian lagi mengumpulkan bahan makanan dan keperluan.

Kerajaan Jepun kini bertindak mencatu bahan api dan bekalan elektrik dan terdapat kedai yang dilaporkan telah kehabisan bahan keperluan tertentu termasuk lampu suluh dan lilin.

Beberapa kedutaan juga telah menasihatkan kakitangan dan warganegara masing-masing supaya meninggalkan kawasan yang terjejas.

"Buat masa ini pun kita ada seramai 208 orang pelajar lagi di sana. Jadi kita kena buat keputusan sama ada untuk hantar balik ataupun pelajar terus berada di sana," kata Mohamad lagi.

Katanya lagi, kesemua pelajar tajaan MARA yang berada di negara itu telah dipastikan berada dalam keadaan selamat.

"Cuma kebimbangannya sekarang ialah (ancaman) radiasi. Tapi pelajar kita tidak berada di kawasan (loji nuklear) di Fukushima," katanya.

Tambahnya, MARA juga terpaksa menanggung kerugian sekiranya pelajar tersebut dihantar tetapi terpaksa dibawa pulang semula.

"Kalau kita kena batalkan penghantaran pelajar pada 19 dan 20 haribulan ini, teruklah kita kena bayar penalti oleh MAS sebab batalkan tempahan," katanya lagi.

"Saya juga bimbang kalau (selepas dihantar), dua tiga empat hari akan dipanggil balik.

"Kalau ada hitam putih daripada Wisma Putra, mungkin kos itu boleh diserap oleh kerajaan.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas satu laporan sebelum ini yang menyatakan bahawa seorang pegawai YPM telahpun berada di Jepun untuk mengenalpasti keadaan.

"Itu tidak betul. Kita cuma bergantung kepada perunding kita yang berada di sana," katanya.

Malah, kerajaan Jepun juga hanya memberi kelepasan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bagi menghulur bantuan untuk mambantu usaha mencari dan menyelamat mangsa bencana di negara itu, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas satu laporan Bernama hari ini yang memetik kenyataan pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh, bahawa Mara telah menghantar satu pasukan ke negara berkenaan.

Laporan itu menyebut, pasukan itu dihantar bagi melihat dan memantau keadaan pelajar MARA di Jepun yang dilanda gempa bumi dan tsunami.

 

ADS