Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Suruhanjaya Siasatan Kematian Teo Beng Hock bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, meminta beliau melepaskan Teoh pada malam setiausaha politik itu disoal siasat.
Hairul Ilham Hamzah memberitahu pada prosiding hari ini, Ean (
kiri
) turut mempersoal mengapa siasatan perlu diteruskan pada malam 15 Julai 2009 dan meminta supaya Teoh dibenarkan pulang dengan serta-merta.
Bagaimanapun, Hairul Ilham berkata, beliau tidak dapat membenarkan Teoh pulang pada waktu itu kerana temu bual masih berjalan dan rakaman percakapan belum diambil.
"Saya memaklumkan kepada Ean bahawa siasatan terhadap Teoh akan dibuat secepat mungkin dan memberitahu beliau saya akan melepaskan Teoh sebelum jam 5 pagi," katanya.
Saksi adalah penting
Ketika disoal pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud mengapa beliau (Hairul Ilham) membuat keputusan sedemikian, Hairul Ilham berkata, dalam kes SPRM, kebanyakan saksi adalah penting.
"Sekiranya saksi dilepaskan, kemungkinan mereka akan mereka-reka cerita dan jikalau saksi ditahan akan mengurangkan potensi saksi untuk berbuat demikian," katanya.
Ketika disoal Awang Armadajaya bagaimana Hairul Ilham mengetahui akan kehadiran Ean, Hairul Ilham berkata, beliau dimaklumkan oleh pengawal keselamatan iaitu Amran bahawa berlaku kekecohan di ruang legar utama di pejabat SPRM di tingkat 14, Plaza Masalam.
"Saya dimaklumkan berlaku kekecohan di ruang legar utama pada jam 11.45 malam (15 Julai 2009) dan apabila saya ke tempat itu saya dapati Ean dan beberapa lelaki dan perempuan berbangsa Cina yang tidak dikenali berada di situ dan pada waktu itu juga Ean meminta saya melepaskan Teoh," katanya.
Hairul Ilham memberitahu pada waktu itu beliau tidak perasan sama ada Ean membawa peguamnya, M Manoharan.
Rasa tertekan
Terdahulu, di awal prosiding, Penolong Penguasa SPRM dari Putrajaya, Arman Alies berkata, timbul perasaan marah di dalam hati beliau apabila diserang dengan pelbagai soalan peribadi.
"Saya rasa tertekan apabila disoal bertalu-talu oleh peguam Edmund Bon dari Majlis Peguam sejak saya memberi keterangan pada Khamis lepas," katanya ketika disoal Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Arman turut memberitahu beliau tidak pernah memarahi Teoh ketika berada di dalam bilik mesyuarat utama ketika soal siasat dijalankan.
Ketika disoal Prof Dr Mohamed Hatta mengapa raut muka Arman kelihatan berubah-ubah dan adakalanya nampak "exhausted", Arman berkata: "Saya kurang tidur dan penat."
Jawapan Arman mendapat reaksi daripada pengerusi suruhanjaya, Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri James Foong Cheng Yuen yang turut mempersoalkan adakah Arman memarahi polis apabila disoal pada malam 17 Julai 2009 dan pagi 18 Julai 2009?
Arman berkata: "Mereka telah melakukan kerja mereka dan saya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mereka."
Teoh, 30, setiausaha politik ahli Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan itu.
Suruhanjaya penyiasat itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk T.Selventhiranathan; Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Bhupinder Singh.
- Bernama
