Peluang untuk tujuh orang mahasiswa yang didakwa menyertai perhimpunan haram dua tahun lalu, untuk melanjutkan pengajian masing-masing musnah kerana kes mereka masih belum bermula.

Pengajian mahasiswa dari empat universiti tempatan itu digantung kerana terbabit dalam kes mahkamah.

Seorang daripada mereka sepatutnya telahpun menamatkan pengajian jika tidak kerana penggantungan yang dikenakan itu.

Kes mereka dijadual didengar di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 14 Julai depan selepas ianya tertangguh sebanyak lapan kali atas pelbagai sebab.

"Sementara menunggu kes itu selesai, mereka kehilangan peluang untuk melanjutkan pengajian masing-masing. Dua daripada mereka mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di pusat pengajian swasta manakala yang lainya sedang mencari kerja," kepada bekas pemimpin pelajar, Syahrir Mahmood.

Syahrir yang juga merupakan jurucakap Gerakan Mahasiswa Menghapuskan ISA (GMMI), terlibat secara langsung memperjuangkan nasib tujuh pelajar terbabit.

Anti-ISA

Kisah sedih mereka bermula pada 8 Jun 2001 apabila menyertai 500 pelajar dari pelbagai universiti, berhimpun anti-ISA di depan Masjid Negara serta membantah penahanan enam aktivis reformasi di bawah undang-undang tersebut.

Pelajar berkenaan, termasuk wanita, berhimpunan di luar masjid itu selepas Sembahyang Jumaat, sambil mengebarkan sepanduk serta melaungkan slogan anti- ISA.

Dua minit kemudian, sepasukan anggota polis tiba untuk meleraikan perhimpunan itu serta menahan ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit atas dakwaan menyertai perhimpunan haram dan gagal bersurai.

Mahasiswa terbabit - Rafzan Ramli, Helman Sanudin, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Wan Sanusi Wan Mohd Noor, Nik Noorhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris - ditahan semalaman di Balai Polis Jalan Tun HS Lee.

Mereka yang aktif menyertai aktiviti pelajar di universiti masing-masing, dibebaskan keesokannya serta diarahkan supaya melaporkan diri di balai polis berkenaan sebulan kemudiannya.

Dalam tempoh tersebut, Rafzan, pelajar kejuruteraan elektrik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah digantung pengajiannya berikutan kejadian tersebut. Bagaimanapan selepas tekanan dari pelbagai pihak, penggantungannya kemudiannya dibatalkan.

Hukuman penjara

Bagaimanapun, selepas didakwa di mahkamah, pihak universiti ketujuh-tujuh mahasiswa terbabit mengambil tindakan disiplin dengan menggantung pengajian mereka.

Dalam usaha mendapatkan sokongan, mahasiswa terbabit sudah empat kali menemui Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

"Bagaimanapun, tiada sebarang hasil daripada semua perjumpaan tersebut," kata Rafzan kepada Malaysiakini, manakala rayuannya kepada Kementerian Pendidikan, sehingga ini belum diputuskan.

Menurut Rafzan lagi, masa depan mereka gelap kerana tidak pasti apakah keputusan kes-kes mereka nanti. Mengikut Kanun Keseksaan, mereka yang didapati bersalah mengambil bahagian dalam perhimpunan haram boleh dihukum maksima enam bulan penjara dan didenda.

Sementara itu Syahrir pula berkata, para mahasiswa terbabit sedang berusaha untuk menarik perhatian awam terhadap kes mereka.

"Sementara menunggu kes itu didengar, kami akan mengadakan perjumpaan dengan pemimpin pelajar di universiti tempatan untuk mendapatkan sokongan," kata beliau sambil menambah yang pihaknya akan berusaha mengumpul dana bagi membiayai kes mereka.

Sokongan

Tambahnya, ketujuh-tujuh mahasiwa terbabit juga akan mengadakan pertemuan dengan Suhakam sekali lagi untuk meminta suruhanjaya itu memberi perhatian kepada kes-kes mereka.

"Mahasiswa terbabit telah dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan dan kami rasa Suhakam sepatutnya mengetengahkan perkara itu kepada pihak berkuasa berkenaan," tegas Syahrir.

Walaupun tiada tarikh ditetapkan untuk mengadakan perjumpaan itu, Syahrir berkata mereka berharap untuk membawa bersama wakil Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta keenam-enam tahanan ISA yang baru dibebaskan .

"Lagipun, mereka mesti ingat bahawa kami berada dalam keadaan sekarang kerana menentang ISA yang digunakan terhadap mereka. Sekarang mereka telah dibebaskan, berangkali mereka pula harus memberi sokongan kepada kami," kata Rafzan.

Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) telah mengeluarkan kenyataan mendesak supaya dakwaan terhadap mahasiswa terbabit digugurkan dan mereka dibenarkan menyambung semula pengajian di universiti masing-masing.