BERITA

Karnival kerja Pemuda BN tawar 40,000 kerja

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Mac 2011, 3:15 petang

Lebih 40,000 peluang kerjaya daripada 650 syarikat dan organisasi pelbagai sektor dijanjikan pada Karnival Kerja Pemuda Barisan Nasional (BN) yang bakal berlangsung mulai esok sehingga Ahad ini.

Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata karnival itu diharap dapat menangani masalah ketidakpastian soal kerjaya di kalangan golongan muda terutamanya di Lembah Klang dan sekaligus mengurangkan masalah pengangguran.

Beliau berkata pelbagai aktiviti nilai tambah akan diadakan pada karnival tersebut termasuk klinik resume, sudut latihan industri, bicara kerjaya dan sesi latihan serta sudut pemantapan kemahiran.

Ia akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak esok, katanya kepada pemberita pada majlis jelajah media dan makan tengah hari sempena karnival tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairy berkata antara syarikat dan organisasi yang mengambil bahagian adalah Malaysia Airlines (MAS), AirAsia, Naza, Proton, Iskandar Malaysia, Mydin, Tabung Haji, Celcom, Telekom Malaysia, Bursa Malaysia dan Uda Holdings.

"Ini merupakan sebuah karnival kerjaya terbesar yang pernah diadakan dengan jumlah penyertaan syarikat dan organisasi yang paling banyak. Kita harap generasi muda dapat memanfaatkan karnival ini untuk mencari pekerjaan atau menyesuaikan diri dengan keperluan majikan di negara ini," katanya.

Beliau berkata walaupun diadakan di Kuala Lumpur, generasi muda masih boleh menyertainya melalui pendaftaran dalam talian di www.bnyouthjobfair.com .

"Pemuda akan cuba pastikan mereka dari luar Kuala Lumpur dapat menyertai temuduga yang dijalankan oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian," katanya.

Khairy turut menafikan penganjuran karnival itu bermotifkan politik dan menyifatkannya sebagai satu tanggungjawab sosial.

"Ini susulan kepada Makmal Belia BN tahun lepas. Bukan semua benda politik. Kita perlu penjenamaan untuk generasi muda. Kita konsisten untuk bantu mereka tidak kira latar belakang. Kalau ada kesan politik, alhamdulillah," katanya.

Karnival itu berlangsung di Dewan Tun Razak I, PWTC mulai pukul 10 pagi hingga 8 malam.

--Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan