BERITA

NGO Kristian 'keras', PEMBELA ugut tarik diri

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Mac 2011, 11:48 tengahari

Sebuah gabungan pertubuhan Islam hari ini mengugut untuk menarik diri daripada sebuah jawatankuasa persefahaman agama sekiranya NGO Kristian terus berkeras dalam isu melibatkan naskhah Injil dalam berbahasa Melayu.

Satu kenyataan gabungan pertubuhan itu menyebut, NGO Kristian berkenaan perlu menggunakan "saluran perbincangan" melalui Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) bagi mengutarakan isu berkenaan.

"Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan (tindakan) keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa tersebut," kenyataan itu dipetik.

PEMBELA juga mendakwa, kenyataan yang telah dikeluarkan NGO berkenaan berhubung isu tersebut telah mengguris hati umat Islam.

"Provokasi dan pelanggaran berterusan terhadap perasaan dan sensitiviti umat Islam ini akan mencetuskan ketegangan dan mengundang reaksi daripada kelompok Islam yang mungkin sukar dikawal dan dibendung oleh sesiapa," menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu dipercayai berhubung tindakan kerajaan meluluskan supaya kitab Injil yang ditahan itu dilepaskan pada pertengahan bulan ini.

Tindakan itu diambil setelah menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk tuntutan daripada Persekutuan Kristian Malaysia (CFM).

PEMBELA juga berkeras bahawa kerajaan tidak seharusnya membenarkan naskhah berkenaan diedarkan kerana tindakan itu antara lainnya melanggar keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah.

Selain itu, tindakan itu juga bertentangan dengan larangan oleh mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah.

"Keputusan awal kerajaan sudah merupakan suatu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini.

"Oleh itu sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat-sangat mendukacitakan

"Apatah lagi jika diambil kira, kitab Al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Ini adalah prosedur biasa dan menuduhnya sebagai suatu kesalahan besar yang mencemar kesucian kitab Injil adalah suatu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab," kenyataan itu dipetik.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.