BERITA Malaysiakini

S'jaya diberitahu, Ronnie Liu tendang pintu pejabat SPRM

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu exco Selangor Ronnie Liu bertindak menendang pintu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum meloloskan diri masuk ke situ pada hari mangsa ditemui mati.

    

NONE Bekas Timbalan Pengarah SPRM Selangor Hishamuddin Hassim berkata pada awalnya, Liu ( kiri ) dan beberapa ahli politik berkumpul di depan pejabat suruhanjaya itu sebelum kekecohan berlaku.

    

Beliau berkata selepas berjaya masuk ke pejabat SPRM, Liu bergegas ke bilik seorang pegawai yang menyoal siasat Teoh dan menyatakan mahu berjumpa Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kasim Mohamed.

    

"Liu masuk untuk berjumpa Abu Kasim dan dia dibawa ke bilik Pengarah. Saya nampak dia marah dan Abu Kasim menenangkan keadaan. Abu Kasim kata biarlah pihak polis yang membuat siasatan, dan jika pegawai SPRM yang lakukan (sebabkan kematian Teoh), biar tindakan diambil," katanya yang kini Pengarah SPRM Negeri Sembilan.

    

Hishamuddin berkata setelah mendapat penjelasan itu, Liu keluar dari pejabat SPRM secara sukarela.

NONE Teoh, 30, setiausaha politik exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

    

Hishamuddin berkata berikutan kematian Teoh, semua pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan berkenaan dipanggil memberi keterangan kepada polis dan beliau dimaklumkan tidak ada sesiapapun tahu apa yang berlaku ke atas Teoh atau melihat mangsa keluar dari pejabat SPRM pada 16 Julai 2009.

Sebagai pegawai yang mengetuai siasatan kes berkenaan, Hishamuddin berkata  beliau terkejut dengan kejadian itu dan berasa kesal kerana Teoh adalah saksi penting.

    

Pada malam 16 Julai 2009, beliau berada di pejabat untuk mengkaji kertas siasatan hingga tertidur, dan terbangun pada 5.45 pagi untuk menghantar anaknya ke sekolah.

    

NONE Mengenai dakwaan pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika siasatan, Hishamuddin ( kiri ) berkata di Selangor beliau tidak pernah aduan berhubung perkara itu namun suruhanjaya mempunyai mekanisme iaitu bahagian tatatertib, sekiranya ada laporan sedemikian.

    

"Saksi dibawa balik ke pejabat SPRM secara sukarela dan bukannya dipaksa. Jika buat begitu, ia akan memalukan kita. Kitapun tahu kemanusiaan. Saksi memang kita jaga, nak cakap kasarpun takut, mereka penting," katanya yang menambah bahawa aduan terhadap pegawai SPRM hanya timbul selepas kematian Teoh.

Suruhanjaya ini dipengerusikan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Mohamed Hatta Shaharom.

azlan Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

    

Prosiding bersambung esok.

Sementara itu, Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim dalam satu kenyataan hari ini berkata permohonan kerajaan negeri Selangor untuk bertindak sebagai pemerhati ketika Pakar Patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand memberi keterangan pada Sabtu dan Ahad ini, dibenarkan.

    

Bagaimanapun, katanya, jika Selangor berhasrat diwakili peguam, mereka perlu mengemukakan permohonan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

    

- Bernama