BERITA Malaysiakini

Tolak janji manis 'jembalang', kata Muhyiddin

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Rakyat Sarawak perlu menolak "hantu" dan "jembalang" yang akan datang dengan mulut yang manis membuat pelbagai janji dan tawaran tetapi sebenarnya hanya pembohongan dan kepalsuan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    

Katanya pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April depan adalah peluang terbaik bagi rakyat Sarawak berbuat demikian.

    

Muhyiddin berkata "hantu" dan "jembalang" itu sebahagiannya datang dari Semenanjung manakala sebahagian yang lain sudah ada di negeri ini.

    

"Perjuangan mereka hanya untuk kepentingan suku sakat mereka... bukan untuk semua rakyat. Ini (pilihan raya negeri) adalah detik penentuan yang penting bagi rakyat Sarawak untuk masa depan yang terjamin," katanya ketika berucap di Majlis Bersama Rakyat di pinggir Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik di Kuching hari ini.

    

Muhyiddin berkata BN tidak pernah berbohong kepada rakyat dan berharap rakyat terus memberi memberi sokongan apabila tiba masa

penentuannya supaya rakyat Sarawak terus terbela.

Katanya apabila tiba pilihan raya, pertimbangan-pertimbangan tertentu perlu diambil kira dalam memilih parti yang boleh dipercayai untuk mewakili penduduk Sarawak.

    

"Kita harus bersyukur negara kita dan Sarawak khususnya adalah negara dan negeri yang begitu aman, begitu stabil dan begitu maju.

    

"Pertimbangan utama yang perlu diambil kira (pada pilihan raya) adalah untuk menjamin politik yang terus kekal stabil, menjamin proses pertumbuhan ekonomi negeri terus mantap, menjamin pengagihan kekayaan yang ada di negara dan negeri dilakukan secara adil dan saksama serta menjamin masa depan generasi muda yang maju dan cemerlang," katanya.

    

Muhyiddin berkata ini semua telah dilakukan oleh BN, dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan program-program transformasi yang hebat.

"Kita tidak mahu Sarawak, negeri yang besar dengan penduduk yang ramai terpinggir daripada arus perdana. Kita tidak mahu Sarawak tidak terpaut dalam transformasi besar di peringkat nasional.

    

"Saya ingin mengajak rakyat Sarawak berganding bahu membantu BN untuk mengekalkan kuasa politik... kalau boleh lebih besar daripada pilihan raya dahulu," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang tiba di Kampung Boyan-Gersik dengan menaiki sampan pada pukul 2.30 petang, memulakan lawatan ke kampung itu dengan mengecat sebahagian surau sementara Kampung Gersik yang dalam proses baik pulih.  

    

Beliau yang diiringi oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu kemudian melawat premis-premis yang mengusahakan kek lapis Sarawak, satu perusahaan yang cukup terkenal di kampung itu.

    

Timbalan Perdana Menteri kemudian mengunjungi orang kelainan upaya (OKU) Awang Ahmad Awang Bakri, 64, di Kampung Gersik, yang cacat kakinya sejak lahir, diikuti lawatan ke rumah seorang warga emas, Dayang Jamilah Abang Lias, 86, yang tinggal bersama seorang anaknya yang mengalami masalah mental.

Dalam lawatan ke rumah Awang Ahmad dan Dayang Jamilah, Muhyiddin meminta supaya kedua-dua mereka diberi bantuan oleh Baitulmal dan rumah mereka diperbaiki.

    

- Bernama