BERITA

Deepak perjelas isu hutang Carpet Group

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Apr 2011, 2:03 pagi

Usahawan permadani Deepak Jaikishan hari ini membuka mulut setelah dakwaan demi dakwaan dihamburkan ke atasnya melalui tulisan di blog popular Malaysia Today .

Deepak berkata, beliau membuat keputusan untuk memberi penjelasan setelah laman berkenaan menyiarkan satu lagi dakwaan ke atasnya semalam.

NONE Malaysia Today dalam tulisan itu mengemukakan tuduhan mengenai skandal hutang yang ditanggung oleh syarikat milik Deepak, Carpet Group.

Deepak menjelaskan, syarikatnya sememangnya telah membuat pinjaman yang berjumlah hampir RM600 juta daripada firma kewangan antarabangsa Kuwait Finance House.

"Dalam tempoh masa itu, pinjaman itu secara beransur-ansur telah dikurangkan melalui penjualan hartanah dan perniagaan lain," kata Deepak kepada wartawan hari ini.

Katanya, jumlah hutang yang kini ditanggung Carpet Group dianggarkan berjumlah RM200 juta.

Jelasnya, dakwaan bahawa pinjaman berkenaan tidak dibayar sejak lima tahun lalu adalah tidak benar.

"Semua pinjaman kami dikemaskini dan (dibayar). Malah, saya dan syarikat milik saya tidak terlibat dalam apa-apa rasuah seperti didakwa oleh tulisan Malaysia Today," kata Deepak lagi.

Tulisan bertajuk "Carpetman, bagman, toyboy has been bagged" di laman itu turut mendakwa, Deepak membayar komisyen kepada pegawai bank berkenaan untuk mendapatkan pinjaman tersebut.

Deepak menafikan dakwaan itu dan menjelaskan bahawa syarikatnya bertindak dengan telus dalam urusannya dengan bank.

Katanya, beliau lebih banyak terlibat dengan perniagaan hartanah manakala bidang permaidani merupakan perniagaan keluarganya.

NONE Perniagaan permaidani itu dimulakan oleh bapanya yang berasal dari Karachi, Pakistan sekitar 40 tahun lalu, kata Deepak lagi.

"Dalam perniagaan hartanah, kita banyak bergantung kepada bank dan kewangan. Sudah tentulah akan timbul kesan rumit melainkan kita membuat penjelasan.

"Esok kita pergi ke bank, mereka mungkin tanya soalan (berhubung dakwaan) ini," katanya.

Ketika ditanya, Deepak berkata beliau kini sedang menimbangkan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Malaysia Today sekiranya dakwaan itu "bertambah buruk."

Deepak berkata, beliau memilih untuk tidak membuat penjelasan sebelum ini kerana tulisan lain yang mengaitkan beliau dalam laman itu hanyalah perkara "karut."

"Tapi kali ini (dakwaan ini) secara langsung ke atas saya," katanya lagi.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.