BERITA

Kugiran, negara Islam modal BN di rumah panjang

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Apr 2011, 9:15 pagi

BN dikesan mengambil pendekatan hiburan sambil mengetengahkan isu negara Islam bagi 'menakut-nakukan' pengundi Iban di rumah-rumah panjang daripada mengundi calon Pakatan Rakyat.

NONE Menariknya, dua kaedah pendekatan yang berbeza sama sekali itu digunapakai di dua rumah panjang yang berdekatan dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sama.

Tinjauan Malaysiakini di Batang Ai mendapati program melibatkan calon BN Malcom Mussen Lamoh di rumah panjang Sebagi Pandak - kira-kira 20 kilometer dari pekan Lubok Antu - umpama pesta keraian.

Kereta bersusun di tepi-tepi jalan dan daripada jauh lagi kedengaran suara penyandang kerusi itu mendendangkan lagu sambil diiringi kugiran,lengkap dengan paluan deram dan petikan gitar.

Sambil sebahagian penduduk memanggang daging di luar rumah, Malcom menyanyikan "Help Me Through the Night" yang dipularkan kumpulan rock Amerika Syarikat, Elvis Presley.

NONE Keadaan begitu meriah dan mesra walaupun beliau tidak berucap lama sebelum itu. Ketika menyanyi, Maclom turut dihadiahkan sekuntum bunga oleh seorang wanita.

Ditemui Malaysiakini selepas itu, beliau sambil ketawa sambil mengaku tidak pandai menyanyi. Bagaimanapun, baginya, lagu Eagles itu baginya bermaksud "help me through the election" (bantu saya lalui pilihan raya ini).

"Ramai di sini saudara saya sama ada jauh atau dekat. Yang penting mereka hendaklah didekati tanpa sebarang halangan dan sekatan," katanya ketika ditanya tentang pendekatan diambilnya bagi memenangi hati pengundi.

'Anwar sibuk...'

Bercakap di rumah panjang moden (rumah batu) yang memuatkan 30 keluarga itu, Malcom menyifatkan kempennya disusun dengan mendekati secara terus penduduk Iban yang merupakan kelompok terbesar di DUN itu.

NONE "Fasa pertama saya akan dampingi rumah panjang. Fasa kedua saya akan temui dan berbincang dengan Persatuan Tuai Rumah.

"Sudah tentu saya tidak mampu pergi ke semua tempat," katanya sambil wawancaranya dihentikan oleh penduduk rumah panjang itu yang mahukannya menyanyikan lagu Iban pula sebelum berangkat pulang.

Sementara di rumah panjang Mepi Pasir - kira-kira 10 kilometer daripada Rumah Panjang Sebagi Pandak pula,  keadaan lebih berbeza dan serius apabila pengundi disogokkan dengan isu nasional.

Anggota parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak ketika berucap mengetengahkan isu negara Islam yang diperjuangkan PAS dan pengharaman penjualan loteri oleh pimpinan parti Islam itu.

Sambil menyifatkan Pakatan Rakyat mempunyai "mimpi lain-lain", William juga menyifatkan gabungan PKR-DAP-PAS itu perlu ditolak kerana pemimpin utamanya Datuk Seri Anwar Ibrahim "mempunyai banyak masalah".

NONE "Anwar kini sibuk dengan isu video seks (yang didakwa melibatkannya) dan tidak ada masa untuk orang di sini," ucapnya dalam bahasa Iban, seperti diterjemahkan kepada Malaysiakini oleh seorang pegawainya.

Willian juga menyifatkan keluarnya beberapa anggota parlimen Pakatan daripada PKR seperti Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baru) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) menunjukkan bahawa parti itu "ada masalah besar".

Malcom yang menang dengan majoriti 1,854 undi dalam pilihan raya lalu kali ini ditentang Nicholis Bawin Anggat daripada PKR. Kawasan majoriti Iban itu mempunyai 8,728 pengundi.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.