Most Read
Most Commented
Read more like this

Sepuluh penyokong reformasi , termasuk dua wanita, yang menyertai perhimpunan aman untuk menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditangkap pagi ini. Ketua polis Dang Wangi Mohd Bakri Zinin mengesahkan kepada malaysiakini bahawa mereka ditahan kerana menyertai satu perhimpunan haram dan mengengkari arahan polis untuk bersurai.

Mereka yang ditangkap termasuklah Timbalan Setiausaha Pemuda KeADILan N. Gobalakrishnan, ahli DAP Yang Weng Keong dan aktivis reformasi Abdul Malek Hussain. Peserta perhimpunan itu mendesak Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan membebaskan Anwar. Dengan memakai lilitan kepala, mereka beramai-ramai menyanyikan lagu dan melaungkan slogan-slogan reformasi.

Mereka yang ditahan itu merupakan sebilangan daripada 200 penyokong reformasi yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sedang membicarakan semula kes liwat Anwar selepas ia ditangguhkan November lalu berikutan pengumuman Mahathir untuk mengadakan pilihanraya umum.

Penyokong reformasi itu juga hadir di bangunan mahkamah untuk menyatakan sokongan kepada beberapa aktivis reformasi yang sedang dibicarakan atas dakwaan terlibat dalam satu perhimpunan haram di Masjid Negara pada 19 September. Aktivis-aktivis itu termasuklah Ketua Pemuda KeADILan Mohd Ezam Mohd Noor, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Azmin Ali, bekas pensyarah undang-undang Dr Badrul Amin, pengarah filem dan penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais, Setiausaha Politik kepada Ketua Pembangkang Dr Mohd Hatta Ramli, dan kartunis Harakah Zunar . Perbicaraan mereka bersambung esok.

Selepas dua jam berhimpun, polis mengarahkan mereka bersurai dalam masa dua minit. Tangkapan dibuat apabila arahan itu tidak diendahkan. Seorang peserta perhimpunan itu berpegang pada tiang perhentian bas. Dia kemudiannya ditarik dengan kuat oleh tiga orang polis sehingga pangkal tiang itu terbongkar daripada simen tempat berjalan kaki.

Gobalakrishnan, apabila dibawa ke trak polis, memberitahu malaysiakini bahawa beliau tidak melakukan apa-apa jenayah. "Keadaan ini menunjukkan negara ini sebuah negara polis," katanya. Beberapa tahanan lain di dalam trak tersebut melaungkan reformasi dengan tangan mereka ke udara sebelum dibawa ke balai polis Jalan Stadium.

Pemimpin-pemimpin utama KeADILan, Naib Presiden Tian Chua dan Ezam kemudiannya berbincang dengan Bakri bagi memohon tahanan-tahanan itu dibebaskan.

Mereka yang ditahan kini masih lagi di bawah kawalan polis dan tidak pasti sama ada mereka akan dibebaskan hari ini atau ditahan reman untuk siasatan lanjut. Bakri tidak bersedia mengulas lanjut apabila dihubungi malaysiakini selain menjelaskan mereka kini sedang disoal siasat.

Tian berkata penyokong reformasi akan berkumpul semula secara aman di luar Mahkamah Tinggi pagi esok bagi menyatakan sokongan kepada Anwar yang sebelum ini pernah disanjung sebagai pemimpin negara.

Sementara itu, Pengerusi DAP Lim Kit Siang mendesak penyiasatan awam berhubung tindakan polis terhadap perhimpunan-perhimpunan aman.

"Polis tidak sewajarnya menganggap peserta perhimpunan protes secara aman sebagai 'musuh', tidak patut agresif, provaktif atau menggunakan kuasa berlebihan, dan mesti belajar menghormati hak rakyat Malaysia berkumpul secara aman," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam yang melabelkan mangsa polis sebagai musuh. Lim berkata kenyataan itu tidak boleh diterima langsung selepas Mahathir baru-baru ini mengaku perhimpunan protes memainkan peranan penting ke arah pembinaan masyarakat madani sejagat.

Mahahir, dalam mesej alaf baru sempena sambutan Tahun Baru, berkata tunjuk-tunjuk perasaan anjuran badan-badan bukan kerajaan menentang Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Seattle, Amerika Syarikat telah menyelamatkan negara-negara miskin daripada tekanan kapitalisme sejagat.

Lim berkata Perdana Menteri sepatutnya mengarahkan polis mengambil sikap yang lebih lembut ketika menangani peserta-peserta perhimpunan aman di negara ini.

"Tindakan polis pagi ini dan tangkapan itu menunjukkan sebaliknya," katanya.

ADS