Video seks: Siapa 'whistle blower' sebenarnya?

       

Sejak 21 Mac, gandingan’ Datuk T’ diangkat oleh pemimpin Umno dan juak-juaknya termasuk PERKASA dan Utusan Malaysia sebagai ‘whistle blowers’ yang harus dilindungi.

azlan Pada tarikh itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Datuk Shuib Lazim menayangkan sebuah video kepada media dan ahli politik terpilih untuk “membuktikan’  Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

Suara-suara Umno  mengenai keperluan melindungi Datuk T sebagai “whistle blower” semakin lantang dengan pengumuman terbaru polis bahawa tiga individu berkenaan  mungkin dihadapkan ke mahkamah kerana menayangkan video lucah.  

Persoalan timbul sama ada Datuk T layak dipanggil “whistle blower”  kerana  kononnya mendedahkan perbuatan sumbang Anwar.

NONE “Whistle blower”  adalah pihak yang mendedahkan sesuatu skandal , khususnya yang mempunyai implikasi kepentingan nasional.  

Umumnya orang yang membuat pendedahan itu terbabit secara langsung dalam skandal berkenaan, justeru keperluan untuk memastikan keselamatan beliau.

"Whistle blower" berkenaan  juga dikecualikan daripada pendakwaan demi memastikan agenda  lebih besar ialah membongkar skandal itu dan menghukum  "ikan jerung” yang bertanggungjawab, mencapai matlamatnya.   

Merujuk kepada kes Datuk T, seseorang yang memegang bukti dan mahu menegakkan kebenaran tidak akan membuat tempahan bilik hotel dan menjemput media serta ahli politik tertentu (Datuk Zaid Ibrahim) untuk  menonton video lucah.

Tindakan itu bukan amalan rasional bagi pihak yang menuntut keadilan tetapi lebih mirip kepada ahli politik yang mahu memastikan rakaman itu dipancarkan ke seluruh media tempatan dan antarabangsa.

Terbongkar

Pihak yang berjiwa Islam dan tidak mahu mengaibkan sesiapa (seperti mana yang didakwa Datuk T) tidak akan menggunakan media untuk membuat ugutan terbuka terhadap Anwar dan isterinya untuk berundur dari politik.

NONE Sejak 21 Mac, motif Eskay, Rahim dan Shuib  berhubung  video itu terbongkar sedikit demi sedikit.

Kecacatan-kecacatan dalam video berkenaan turut diperinci dan didedahkan oleh pihak-pihak tertentu, untuk membuktikan rakaman itu adalah fitnah licik semata-mata.

Dukacita dimaklumkan gandingan Datuk T tidak boleh memakai topi “whistle blower” supaya kebal dari pendakwaan di mahkamah undang-undang mahupun menghadapi penilaian di  mahkamah rakyat.

Segala tindakan yang diambil mereka mempunyai agenda tertentu dan ia amat berkait dengan agenda besar Umno untuk menumbangkan Anwar.

Benar, “whistle blower” harus dllindungi, tetapi siapakah “whistle blower”  dalam kes  ini, mahupun dalam politik negara?

NONE Jawapannya Anwar Ibrahim.

Susulan tindakannya  mendedahkan pelbagai skandal di Dewan Rakyat dan di ceramah-ceramah, Anwar digantung enam bulan dari parlimen Disember lalu.

Ceramah-ceramah beliau di Kuala Lumpur, Johor dan negeri-negeri lain menjadi sasaran serbuan polis.

Di Sarawak, ceramah-ceramah Anwar dihadiri ribuan orang, di bandar dan kawasan pedalaman, dengan pengundi Melayu-Melanau, Cina, Iban dan Dayak hadir mendengar kepincangan-kepincangan BN.

Najib tidak menjawap

Sehingga hari ini, perdana menteri dan menteri-menteri Umno khususnya tidak menjawab beberapa skandal yang dibongkarkan oleh Anwar.

azlan Ini termasuklah pemberian kontrak lebih RM2 bilion Kementerian Pertahanan kepada seorang pemimpin Umno dari Perak sejak tahun 2008 yang mencerminkan budaya kronisme masih menebal dalam Umno.

Najib juga tidak mengulas dakwan Anwar bahawa 1Malaysia Development Corporation (MDB) dan syarikat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjalankan urusniaga mencurigakan dengan Petro Saudi.

Urusniaga itu  melibatkan hampir  RM6 bilion ringgit.

Contoh-contoh ini hanya secebis daripada pendedahan yang dibuat oleh Anwar di parlimen dan di luar dewan sejak beliau menjadi ketua pembangkang Ogos 2008.

azlan Kebanyakan daripada dakwaan itu tidak dijawab oleh menteri berkenaan, sebaliknya ketua pembangkang diaib dan dicaci dengan kata-kata kurang sopan di dalam parlimen serta juga di luar oleh juak-juak Umno.  

Sejak 2008, Umno mencari helah bagaimana untuk mengekang “whistle blower”  bernama Anwar Ibrahim.

Tsunami fitnah

Perbicaraan fitnah liwat sekali lagi menjadi senjata politik Umno untuk menyerang Anwar dengan keyakinan pengundi Melayu mudah dipengaruhi atas isu-isu agama dan moral.

Juak-juak  Umno seperti Ummi Hafilda dikitar semula manakala “pejuang-pejuang  bangsa”  seperti Senator Ezam Mohamad Nor dan S Nallakarupan diberikan liputan luar biasa dalam media arus perdana.

NONE Apabila “tsunami fitnah”  Umno tidak dapat menghakis sokongan untuk Anwar kerana orang Melayu menolak budaya sedemikian, parti itu tidak berundur malah memperhebatkan serangan.

Maka sampailah giliran gandingan Datuk T pula memegang “obor kebenaran”  Umno dengan  video seks demi membela agama bangsa dan negara.

Dan jika video seks babak pertama gagal mencapai maksud yang dihajatkan oleh Umno, usah bimbang kerana kilang fitnah parti itu sentiasa rancak dengan senjata-senjata lain.

Perlu ditanya, jika Anwar tidak lantang dan hujahnya tidak meyakinkan, adakah Umno akan mengambil peduli terhadapnya?.

NONE Apakah rakyat di Semenanjung dan di Sarawak akan menerima secara membuta tuli segala pendedahan Anwar, jika ia tidak disokong dengan bukti dan fakta?

Jelas,  Umno mempunyai kepentingan untuk membisukan “whistle blower” terbesar di negara ketika ini dengan apa cara sekali pun sama ada menerusi mahkamah atau pun menggunakan video untuk menabur fitnah.


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Malaysiakini.

Malaysiakini
terkini untuk anda