Langkah kerajaan untuk tidak menapis bahan-bahan dalam Internet dialu-alukan. Jaminan kerajaan itu memberikan kegembiraan kepada pengguna-pengguna Internet. Pada Isnin lalu, Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Leo Moggie berkata kerajaan tidak berhasrat mengawal Internet walaupun menyekat beberapa aktiviti yang menyalahi undang-undang. Baru-baru ini kerajaan mengawasi dan mengambil tindakan ke atas kegiatan judi siber di 40 buah kafe siber.
Pengurus di sebuah syarikat bertaraf MSC, Ahmad Jamali Sepihie, berkata undang-undang siber di negara ini memberikan jaminan tersebut. "Bahan-bahan di Internet tidak dikawal, sebaliknya undang-undang itu membenarkan kawalan ke atas penyalahgunaan Internet di pusat-pusat kafe siber," katanya kepada malaysiakini , merujuk kawalan ke atas kegiatan judi itu.
"Tindakan ke atas kegiatan judi di kafe siber itu menunjukkan kerajaan hanya cuba mengawal operasi pusat berkenaan dan bukannya kawalan ke atas Internet. Tetapi jika kerajaan mengawal laluan masuk ( gateway ) bahan -bahan Internet, itu bermakna satu bentuk penapisan."
Jamali menjelaskan bahawa teknologi hari ini membolehkan kerajaan mengawal Internet jika ia mahu berbuat demikian. Beliau juga mengalu-alukan kawalan kerajaan ke atas kegiatan judi haram itu.
Dalam satu laporan Straits Times di Singapura hari ini, Leo dipetik sebagai berkata kerajaan percaya penyalahgunaan di Internet akan berlaku walau bagaimanapun kerajaan cuba mengawalnya.
"Internet merupakan rangkaian yang sangat besar sehinggakan bagaimana pun peraturan dikenakan ke atasnya, orang ramai masih boleh menyalahgunakannya. Kerajaan sudah memberikan jaminan untuk tidak menapis Internet sebelum ini dan dasar itu akan kekal," katanya.
Laporan itu juga menyifatkan akhbar harian dalam talian malaysiakini.com sebagai mengambil manfaat daripada dasar kerajaan tersebut.
Menteri berkenaan juga menyebutkan kerajaan sudah menarik semula arahan agar pusat-pusat kafe siber didaftarkan kerana negara ini berhasrat menggalakkan penggunaan Internet. Langkah kerajaan ini dipercayai selari dengan program Koridor Raya Multimedia (MSC), satu usaha menggalakkan pelaburan asing di sebuah kawasan bersebelahan pusat pentadbiran kerajaan yang baru Putrajaya.
Jurucakap media Parti Keadilan Nasional, Raja Petra Kamaruddin turut mengalu-alukan langkah kerajaan itu tetapi beliau bimbang jika kerajaan tidak memenuhi jaminan itu. Beliau menyebutkan kes Timbalan Presiden parti itu, Dr Chandra Muzaffar, yang pernah didakwa menghina mahkamah tahun lalu sebagai satu bentuk gangguan kebebasan bersuara -- jikapun bukan satu tapisan -- ke atas Internet. Chandra didakwa menyebarkan satu rencana di Internet yang dikatakan mengaitkan hubungan antara kehakiman, media dan pemimpin kerajaan.
"Bagaimanapun, mujurlah mahkamah tidak menerima bahan-bahan dari Internet sebagai sah untuk dijadikan bukti," jelasnya panjang lebar kepada malaysiakini .
Raja Petra mempertikaikan tindakan kerajaan mendakwa beberapa orang pengguna Internet yang dilaporkan menyebarkan khabar tentang kejadian rusuhan di Chow Kit. Kerajaan tidak sewajarnya mengawal komunikasi peribadi melalui emel dan kumpulan diskusi siber, tambahnya.
"Sebelum ini pula, kerajaan pernah membuat kenyataan bahawa terhadap 40 hingga 50 laman web yang disifatkan antikerajaan. Kerajaan sudah bersedia dengan panel peguam untuk mengambil tindakan ke atas penulis dan pengendali laman web itu," kata Raja Petra lagi.
Beliau juga mempunyai laman web sendiri di [#1] members.xoom.com/rpetra/ [/#] selain mengemaskini beberapa laman web rasmi, antaranya milik parti itu [#2] www.keadilan.org [/#]
Malaysia mempunyai 900,000 pelanggan Internet dengan anggaran 4 juta pengguna.
