Pegawai yang dilantik Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) ke perkhidmatan awam tidak lagi tertakluk dengan tapisan
keselamatan untuk pengesahan pelantikan dan pengesahan dalam perkhidmatan.
Pegawai Perhubungan Awam Unit Perhubungan Korporat SPA Radziah Mohd Sharif berkata sehubungan itu, SPA telah membatalkan syarat tapisan keselamatan dalam surat tawaran yang dikeluarkan, berkuat kuasa serta-merta.
"Ia dibuat selaras dengan keputusan kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2011, yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam berkaitan Pindaan Pelaksanaan Tapisan Keselamatan Bagi Pegawai Yang Dilantik Dalam Perkhidmatan Awam berkuat kuasa 20 April 2011," katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata pegawai terlibat masih perlu lulus tapisan keselamatan, sama ada sebelum atau setelah disahkan dalam perkhidmatan dan mereka yang tidak lulus boleh ditamatkan perkhidmatan, mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
"Dengan pelaksanaan dasar baru ini, pengesahan dalam perkhidmatan boleh dibuat oleh SPA pada bila-bila masa sahaja apabila pegawai telah memenuhi syarat skim perkhidmatan serta syarat lain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa."
Radziah berkata sehubungan itu, Ketua Jabatan boleh menghantar perakuan pengesahan ke SPA tanpa perlu menunggu tapisan keselamatan.
Sebelum ini, senator Dr Syed Husin Ali mendakwa berlaku campurtangan polis cawangan khas (SB) dalam proses penapisan pelantikan pensyarah dan profesor emeritus.
Beliau mendakwa ia adalah satu gangguan oleh pihak berkuasa yang tiada kaitan dengan pentadbiran universiti,” katanya.
