Program Lebuh Seni Kuala Lumpur di Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka, yang menawarkan pelbagai hasil kraftangan tempatan dengan harga berpatutan, memberi pulangan hasil lumayan kepada pengkarya seni tempatan.
Pelukis Gmann Nordin, 35, yang berasal dari Kuala Lumpur berkata sejak menyertai program ini tahun lepas, pendapatan yang diterimanya semakin lumayan.
Gmann, yang menumpukan kepada lukisan potret cat minyak, berkata selain mendapat permintaan terhadap lukisan potret daripada rakyat tempatan dan luar negara, lukisan beliau mengenai bangunan-bangunan terkenal di Kuala Lumpur seperti KLCC turut mendapat permintaan.
Enggan mendedahkan jumlah pendapatan daripada hasil jualan lukisannya itu, dia berkata: "Saya bukan sahaja melukis tetapi saya turut mengajar orang yang berminat untuk melukis.
"Di sini saya berasa puas kerana dapat tunjuk kepada pengunjung bahawa orang seni juga boleh berjaya dan saya amat berterima kasih kepada kementerian (Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) dan Jabatan Kraftangan Malaysia kerana memberi peluang orang seni memperluaskan bakat," katanya kepada Bernama.
Bagi Hishamudin Mohamad, 29, hasil kraftangan yang dijualnya seperti gelang kunci memberi pulangan berbaloi kerana dengan harga berpatutan pengunjung tertarik untuk membeli dan menjadikannya cenderamata.
"Program seperti ini tidak pernah menghampakan kerana ia selalu mendapat sambutan dan walaupun sebulan sekali sahaja diadakan tetapi saya rasa ia dapat memberi kesan kepada orang ramai untuk kenal apa itu seni," katanya.
Bagi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) program Lebuh Seni Kuala Lumpur kali ini menyasarkan untuk mempromosikan kesenian kraftangan seperti batik, tembikar dan lukisan yang mempamerkan pemandangan di Malaysia.
Selain itu, persembahan seni kebudayaan diadakan bagi membolehkan pengunjung terutamanya pelancong asing mengenali seni budaya negara, kata Ketua Penolong Setiausaha kementerian, Shireen Jasmin Ali.
Beliau berkata program ini diadakan setiap Sabtu minggu keempat setiap bulan, yang menyaksikan gerai jualan dibuka penggiat seni tanah air bagi mempamer dan menjual hasil seni mereka kepada pengunjung, tanpa dikenakan sebarang bayaran.
Beliau berkata program itu yang dianjurkan sejak tahun lepas dengan dikenali sebagai Program Laman Budaya kini mencatat peningkatan daripada sejumlah 33 gerai pada tahun lepas kepada 42 gerai kini.
Turut serta dalam program itu Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Balai Seni Lukis Negara, Pasar Seni Kuala Lumpur dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Pelancong dari Austria, Julian Brown, 21, yang pertama kali berkunjung ke negara ini berkata dia sangat teruja dapat mengetahui dengan lebih mendalam kesenian dan kebudayaan Malaysia.
"Apa yang ada di Malaysia adalah murah termasuk hasil karya seni, dan saya berasa sangat gembira membeli produk batik sebagai cenderahati dan pasti saya akan memberitahu rakan-rakan mengenai hasil seni Malaysia," katanya.
Seorang pengunjung tempatan, Mahani Mahmud, 65, memuji program itu kerana orang ramai boleh melihat sendiri kreativiti dan kebolehan pengkarya tempatan dalam bidang seni.
"Kita perlu adakan (Program Lebuh Seni) bukan hanya di Kuala Lumpur malah di negeri lain juga" kata suri rumah itu.
--Bernama
