BERITA

Sultan Muhammad V bertemu jodoh

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mei 2011, 4:51 pagi

Kelantan bakal menerima Raja Perempuan setelah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.

Dalam satu sidang akhbar khas di Istana Negeri, Kubang Kerian, petang semalam bagi mengumumkan mengenai pelancaran Yayasan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin dan sambil tersenyum, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul."

bbpm tengku faris 120408 tengku faris Sultan Muhammad, 42, yang mudah membahasakan diri baginda sebagai "saya" atau "kita", berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.

"Jadi saya fikir Insya-Allah dengan berkat doa Tok Guru, datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah berjaya," titah baginda.

Sultan Muhammad, yang dimasyhurkan pada 13 Sept tahun lalu, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Baginda, yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah, adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.

Baginda dan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, tidak dikurniakan cahaya mata.

- Bernama

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan