Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
News
Royalti minyak: Terengganu rancang tindakan Disember depan

Kerajaan negeri Terengganu akan merangka satu tindakan khas berhubung kehilangan hasil pendapatan negeri itu melalui royalti minyak dalam mesyuarat belanjawan negeri pertengahan Disember tahun ini.

Menurut Ketua Jawatankuasa Pembangunan Petroleum Terengganu, Mustafa Ali, kerajaan negeri mengambil langkah sedemikian kerana pertukaran wang royalti kepada wang ehsan akan menjejaskan perancangan pembangunan negeri pimpinan kerajaan PAS itu.

"Pembangunan (rakyat) akan terjejas teruk," jelas Mustafa kepada malaysiakini .

Beliau hanya akan memaklumkan tindakan selanjutnya selepas mesyuarat belanjawan negeri itu.

Sebelum ini Mustafa pernah mendedahkan langkah kerajaan pusat itu akan menimbulkan masalah kewangan yang besar kepada negeri kerana kira-kira 75 hingga 80 peratus pendapatannya datang daripada minyak.

Dalam belanjawan tahun ini, Terengganu telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk pembangunan. Kegagalan mendapatkan wang royalti itu akan mengganggu pentadbiran negeri itu, jelas Mustafa dalam seminar khas anjuran Barisan Alternatif bertajuk Royalti minyak: Politik khianat dan balas dendam BN September lalu.

Peruntukan itu termasuklah, dana-dana untuk rakyat miskin sebanyak RM21 juta, pinjaman perumahan kakitangan kerajaan negeri (RM20 juta), perumahan rakyat (RM10 juta), pinjaman usahawan kecil (RM10 juta), imbuhan imam dan bilal (RM7 juta), jawatankuasa syura rakyat (RM6.5 juta) dan pinjaman pendidikan (RM2.8 juta) ([#1]Petronas 'simpati' nasib Terengganu[/#], 23 Sept).

Bagaimanapun beliau mengulas, kerajaan negeri masih mempunyai cukup peruntukan dalam belanjawan mengurus soal-soal seperti pembayaran gaji kakitangan dan pentadbiran.

Tiada mekanisme

Apabila ditanya berhubung saluran wang melalui Jawatankuasa Pembangunan Pusat (JPP) Kerajaan Pusat, exco kanan negeri itu menjelaskan beliau masih "tidak mendengar khabar" daripada jawatankuasa tersebut.

"(JPP sendiri) belum ada mekanisme," kata Mustafa.

Ketua Jawatankuasa Hisbah negeri, Tun Mohamad Salleh Abas, dalam satu wawancara khas malaysiakini turut menegaskan kerajaan negeri tidak mengetahui apa-apa tentang kaedah pembayaran baru itu melalui JPP kecuali melalui satu salinan kenyataan Kementerian Kewangan pada 5 September lalu.

Beliau yang merupakan bekas ketua hakim negara berkata, tindakan menukarkan nama bayaran kepada wang ehsan tidak akan mengubah kedudukan bayaran itu pada segi undang-undang kerana ia mesti dibayar oleh Petronas dan menjadi hak Terengganu.

Salleh dalam kenyataan sebelum ini turut mendakwa bertanggungjawab dalam merangka Akta Pembangunan Petroleum 1975.

Dalam perjanjian tersebut menjelaskan Petronas telah bersetuju untuk membayar royalti sebanyak lima peratus hasil daripada sumber minyak negeri Terengganu.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS