Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU: Zahid dakwa DAP rancang letak calon Melayu
Diterbitkan:  May 22, 2011 9:21 PM
Dikemaskini: 1:21 PM

Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa DAP merancang meletakkan calon Melayu bertanding di beberapa negeri dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang.

    

Katanya, DAP sedang mengenalpasti orang Melayu yang sesuai untuk dijadikan calon bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Perak,  Melaka dan Negeri Sembilan.

    

"Mereka telah mencari jalan supaya calon-colon (orang Melayu) itu dapat diterima oleh pengundi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah dekat Alor Gajah hari ini.

    

Ahmad Zahid, yang juga menteri pertahanan, berkata DAP merancang meletakkan calon orang Melayu di Perak untuk menguasai negeri itu dengan menteri besarnya terdiri daripada calon DAP.

    

"Ini kerana perlembagaan negeri Perak tidak mengizinkan orang bukan Melayu menjadi  menteri besar, oleh itu DAP merancang meletakkan calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri supaya akhirnya menteri besar itu dari DAP," katanya.

    

Beliau berkata di negeri lain, parti pembangkang itu merancang meletakkan calon  Melayu di kawasan yang majoriti pengundi Melayu dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon bukan Melayu.

    

Katanya strategi terancang itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana DAP telah memulakan blog dalam bahasa Melayu berbanding selama ini hanya menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.

    

"Kita menghidu rancangan DAP ini tanpa disedari oleh PAS dan PKR (Parti Keadilan Rakyat), Sebab itu saya ingin mengingatkan PAS dan PKR jangan jadi kuda tunggangan kepada DAP," katanya.

    

Ahmad Zahid mengingatkan Umno dan parti komponen BN yang lain, supaya berhati-hati  dengan taktik secara berstruktur dan sistematik yang dilakukan oleh DAP itu.

    

"Kita jangan berada dalam zon yang selesa dengan tindakan yang dilakukan DAP, saya ingatkan orang Melayu jangan jadi tali barut kepada DAP, sama ada mereka menjadi calon  secara langsung atau rakan yang bersekongkol di bawah pakatan rakyat," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS