Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy bantah harga RON95 naik 'dalam masa terdekat'
Diterbitkan:  May 24, 2011 6:01 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin hari ini tangkas menepis dakwaan yang dilemparkan ke atasnya bahawa beliau telah menukar pendirian berhubung pengekalan subsidi bagi petrol RON95.

Khairy dalam satu kenyataan yang dihiasi bahasa berbunga-bunga menjelaskan, pendiriannya tetap konsisten bahawa subsidi yang diberikan kerajaan itu perlu distruktur semula "memandangkan ia bukannya suatu perbelanjaan produktif."

"Namun, usaha ke arah itu haruslah mengikut turutan dan keutamaan terutama sekali apabila rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup dengan kenaikan harga barang makanan yang mencecah 11 peratus.

"Gesaan saya supaya subsidi RON95 tidak dikurangkan buat masa ini langsung tidak bercanggah dengan pendirian saya bahawa subsidi akhirnya perlu distrukturkan semula supaya lebih tepat sasarannya kepada mereka yang layak menerima dan mengurangkan beban defisit kepada perbelanjaan Kerajaan.

"Cuma, berdasarkan pengalaman lepas dan mengambil kira beban yang dihadapi rakyat hari ini, saya bantah kenaikan harga RON95 dalam masa yang terdekat," katanya yang mengulas dakwaan oleh ahli parlimen Machang, Saifuddin Nasution.

Saifuddin dalam satu kenyataan semalam membangkitkan semula satu ucapan yang disampaikan Khairy di parlimen pada Jun 2008, berhubung usul kenaikan harga petrol dan barangan yang dibahaskan dalam sidang dewan itu.

Saifuddin berkata, Khairy pada masa itu berpendirian bahawa "keputusan kerajaan menstrukturkan (menarik balik) subsidi merupakan satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan."

Saifuddin juga berkata tindakan Khairy itu "tidak lebih daripada sebuah sandiwara" kerana Khairy dilihat hanya menentang penarikan subsidi dan kenaikan harga petrol secara luaran.

Mengulas kenyataan itu, Khairy turut berkata, Saifuddin sepatutnya menyokong pendirian beliau dan tidak menyerang dirinya secara peribadi.

"Apa salahnya sekiranya pendekatan saya berubah sedikit setelah mendapat pengalaman dari sejarah?," soalnya lagi.

 

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan tindakan Saifuddin yang sebelum ini didakwa telah merusuh ketika mengetuai sekumpulan pemuda Umno untuk menghentikan satu persidangan.

Khairy berkata, Saifuddin yang merupakan pemimpin pemuda Umno pada masa itu bertindak dengan "sombong dan samseng" pada dalam kejadian pada tahun 1996 itu.

 

"Namun, selepas menyertai PKR, beliau memutar pendirian 180 darjah dalam isu ini, menjadi hero kepada kebebasan bersuara dan menuding jari kepada pihak lain yang kononnya mengarahkan beliau menyerang peserta-peserta persidangan tersebut," kata Khairy lagi.

ADS