eksklusif Penafian Menteri Besar Pahang, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang parti itu tidak terbabit dalam perjanjian konsesi balak bernilai jutaan ringgit di antara Umno Pahang dan syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM), kini telah menimbul lebih banyak persoalan mengenai isu tersebut.

Adnan telah dipetik dalam laporan media Rabu lalu sebagai berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perjanjian itu kerana kawasan 10,000 ekar milik Umno di Nenasi - kira-kira 100km ke selatan Kuantan - telah diluluskan oleh menteri besar sebelumnya, Tan Sri Khalil Yaakob.

Bagaimanapun, dokumen yang diperolehi malaysiakini , menunjukkan perjanjian itu - yang dianggap berbau rasuah - telah ditandatangani selepas Adnan mengambil alih jawatan menteri besar dan pengerusi Umno Pahang pada penghujung 1999.

Perjanjian di antara Umno negeri dan SGM itu ditandatangani pada 2 Oktober 2000 di mana beberapa pemimpin Umno juga dipercayai terbabit bagi memastikan syarikat itu mendapat lesen membalak dari pejabat perhutanan negeri bagi membalak di kawasan itu yang dikatakan untuk diusahakan sebagai ladang kelapa sawit.

Setiausaha kerja Umno Pahang, Abdullah Rahmat telah menandatangani perjanjian itu bagi pihak parti itu, yang memberi SGM hak eksklusif untuk membalak di kawasan seluas kira-kira 24km persegi itu, dengan dikenakan bayaran yang tidak seberapa berjumlah RM50,000.

Bendahari Umno negeri, Abdul Rashid Abdul Rahman juga telah menulis sepucuk surat sokongan bertarikh 28 Feb 2000 kepada jabatan hutan negeri, mengesahkan pihaknya (Umno negeri) tiada bantahan bagi jabatan itu mengeluarkan lesen membalak kepada SGM.

Tindakan undang-undang

"Saya difahamkan bahawa pemohon (SGM) telah merujuk perkara itu kepada menteri besar dan dipersetujui supaya permohonan ini diangkat untuk tindakan sewajarnya (oleh pejabat hutan negeri)," kata Kata Abdul Rashid di dalam surat itu.

Lesen itu boleh diperbaharui bagi setiap 1,000 ekar kerana tanah tersebut telah dipecahkan kepada 10 kawasan bagi mengelak kajian penilaian kesan alam sekitar dilakukan (di bawah undang-undang, kawasan di bawah 1,200 ekar tidak memerlukan laporan tersebut).

SGM telah mengambil tindakan undang-undang terhadap Umno Pahang selepas parti itu gagal untuk memperolehi lesan membalak di baki kawasan tersebut selepas 7,000 daripadanya telahpun dibalak sepanjang tempoh tahun lalu.

Di dalam sepucuk lagi surat bertarikah 13 Nov 2002, pejabat hutan negeri juga telah memberitahu SGM yang permohonan syarikat itu untuk membalak di kawasan gantian bagi tanah Umno itu "sedang menunggu kelulusan menteri besar".

Adalah difahamkan yang SGM telah memohon kebenaran untuk membalak di kawasan gantian itu kerana sebahagian daripada tanah 10,000 ekar itu, telah dicerobohi oleh pihak-pihak lain.

"Pejabat hutan negeri sedang menyediakan kertas kerja untuk diangkat kepada Menteri Besar. Kertas kerja ini adalah cadangan untuk memberi kawasan ganti, tetapi ianya tertakluk ke atas keputusan Menteri Besar," demikian menurut surat itu lagi.

Jadi sasaran

Sejak itu, Adnan telah menjadi sasaran kritikan pemimpin parti-parti pembangkang berhubung perkara tersebut.

"Sejak beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar Pahang dan juga pengerusi Umno Pahang (dari Khalil) pada 1999, bolehkan beliau jelaskan mengapa bayaran premium berjumlah RM4.8 juga tidak dibayar sehingga hari ini?" tanya ketua publisiti kebangsaan DAP, Ronnie Liu.

Beliau merujuk kepada kegagalan Umno negeri untuk menjelaskan bayaran premium itu walaupun tempohnya dilanjutkan sebanyak empat kali sejak 2000.

Bayaran premium itu perlu dijelaskan bagi mengesahkan hakmilik Umno Pahang bagi kawasan terbabit serta membolehkannya menebang balak di situ.

Kesahan parti itu membalak di kawasan terbabit kini dipertikaikan kerana pejabat tanah daerah Pekan - tempat lokasi kawasan tersebut - telah mengesahkan Jumaat lalu yang ianya masih milik kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tahan, Abdul Malik Yusof juga memberitahu malaysiakini bahawa beliau pernah bertanya kepada kerajaan negeri mengenai skandal balak itu, sewaktu persidangan dewan pada 2000 tetapi hingga sekarang belum mendapat sebarang jawapan mengenainya.

Beliau memberitahu bahawa pemimpin pembangkang di Pahang akan membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Kuantan hari ini mengenai perkara itu.

Usaha untuk mendapat Adnan sejak Jumaat lalu bagi mengulas perkara itu tidak berjaya.