Badan pencegah rasuah (BPR) digesa supaya membuat penyiasatan terperinci mengenai kontroversi pemberian konsesi pembalakan seluas 10,000 ekar di Nenasi dekat Kuantan kepada Umno Pahang.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad) sebagai pemimpin tertinggi Umno dan ketua kerajaan wajar mengarahkan BPR menjalankan siasatan sebagai khidmat terakhirnya untuk membasmikan rasuah," kata ahli jawatankuasa PAS pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dalam satu kenyataan hari ini.

"Siasatan ini melibatkan pimpinan tertinggi Umno dan kerajaan tidak ada alasan untuk menutupnya bagi memperlihatkan kerajaan telus, tidak korup dan amanah," kata beliau yang juga setiausaha politik kepada ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Malaysiakini

telah menyiarkan laporan-laporan mengenai konsesi balak yang dianugerahkan oleh kerajaan Pahang kepada Umno negeri itu, yang kemudiannya telah menandatangani perjanjian untuk menyerahkan hak membalak kepada syarikat Seruan Gemilang Makmur (SGM) dengan bayaran hanya RM50,000.

Kawasan yang terletak di Nenasi, kira-kira 100km ke selatan Kuantan telah diberikan kepada Umno Pahang pada 1998. Parti itu menandatangani perjanjian dengan SGM pada tahun 2000.

Kes saman

Bagaimanapun, kedua-dua pihak kini terbabit dalam kes mahkamah selepas SGM menyaman Umno Pahang kerana kegagalan parti itu membantunya mendapatkan lesen membalak di kawasan baki seluas 3,000 ekar.

Dokumen yang diperolehi malaysiakini berhubung perjanjian itu menunjukkan ia turut membabitkan beberapa pemimpin Umno negeri bagi mendapatkan konsesi itu dan kemudiannya diserahkan kepada SGM.

Menteri besar dan pengerusi Umno Pahang ketika itu ialah Tan Sri Khalil Yaakob yang kini merupakan menteri penerangan dan setiauasaha agung Umno. Adnan Yaakob menggantikan beliau sebagai menteri besar pada 1999.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman telah membuat laporan polis dalam tahun 2001 dengan mendakwa Khalil telah membenarkan kerja membalak di jalankan di kawasan yang melebihi keluaran yang dibenarkan di bawah dasar perhutanan negara.

Satu siasatan dalaman Umno telah dijalankan terhadap Khalil tiga tahun lalu, tetapi sehingga ini belum diketahui hasilnya.

Jangan pilih bulu

Laporan juga telah dibuat kepada BPR dan siasatan masih berterusan. Rabu lalu, Adnan menafikan yang Umno Pahang terbabit dalam perjanjian dengan SGM.

Menurut Mohd Hatta lagi, kerajaan perlu bertindak supaya tidak dianggap bersikap memilih bulu serta melakukan siasatan terpilih dan "membiarkan kontroversi pembalakan di Pahang ini berlaku begitu sahaja kerana ia dipercayai melibatkan beberapa tokoh penting Umno di peringkat tertinggi".

Menurutnya, Adnan juga tidak boleh berlepas diri kerana membiarkan tanah kerajaan dibalak secara haram oleh pihak-pihak terlibat.

"Umno Pahang juga tidak membayar premium sebanyak RM4.8 juta. Ini bermakna telah berlaku pembalakan haram sejumlah 7,000 ekar oleh SGM yang memeteraikan perjanjian pembalakan dengan Umno Pahang," tambahnya.

Mohd Hatta juga menyentuh mengenai cara pembalakan di plot kurang 1,200 ekar bagi mengelak daripada menyediakan laporan kesan penilaian alam sekitar (EIA).

"BPR pula jangan dijadikan momokan dan cemuhan masyarakat yang hanya berminat dengan kes-kes rasuah melibatkan ikan-ikan bilis sedangkan jerung terlepas begitu sahaja," tambahnya.

"Kita mahu siasatan dibuat (untuk mengetahui) siapakah sebenarnya ahli lembaga pengarah syarikat ini," tambahnya.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kerajaan negeri boleh menyerahkan konsesi pembalakan kepada parti pemerintah sendiri yang tidak pun mempunyai kepakaran untuk melakukan pembalakan.

Mohd Hatta juga menggesa Khalil dan Adnan supaya meletakkan jawatan atau bercuti sebagai tanda "pertanggungjawaban" mereka kepada rakyat bagi memudahkan BPR melakukan siasatan secara adil dan saksama terhadap skandal berprofil tinggi itu.