Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TV Al-Hijrah mula bersiaran di Astro
Diterbitkan:  May 27, 2011 3:54 PM
Dikemaskini: 7:54 AM

Bermula 1 Jun ini, stesen TV berkonsepkan Islam, TV AlHijrah akan bersiaran di Asdtro saluran 114, demikian diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata tujuan kemasukan stesen TV berkenaan ke dalam Astro adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton di negara ini untuk menikmati siaran stesen TV berkenaan.

"Siaran TV AlHijrah (sebelum ini) begitu terhad. Kita menerima permintaan begitu banyak daripada masyarakat supaya mereka dapat menonton TV AlHijrah. Jadi ini kita lakukan (memasukkan siaran TV AlHijrah ke dalam Astro)," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.

Jamil Khir berkata selaras dengan kemasukan stesen TV berkenaan ke dalam Astro, waktu siaran turut ditingkatkan daripada 72 jam seminggu kepada 100 jam seminggu.

"Hari Isnin sehingga Khamis, TV ini (AlHijrah) akan bersiaran seperti biasa dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam manakala pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan bersiaran dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya sambil menjelaskan pihakya akan memanjangkan waktu siaran sehingga 24 jam sehari sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada penonton.

Ditanya mengenai persaingan yang bakal diterima apabila stesen TV berkenaan apabila memasuki Astro kelak, Jamil Khir berkata, pihaknya hanya ingin memenuhi selera penonton di negara ini yang sentiasa mahukan kelainan dari segi kandungan siaran.

"Kita akui persaingan memang ada. Sebab itu kita mempelbagaikan program seperti (rancangan realiti TV) Solehah yang antara lain bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pendakwah wanita di negara ini," katanya sambil menjelaskan rancangan-rancangan yang bertemakan wajah-wajah Islam seperti Madrasah AlHijrah, Refleksi dan Khidmat Syariah akan turut disiarkan pada 1 Jun

nanti.

Ditanya adakah stesen TV berkenaan akan memperluaskan siarannya bagi negeri-negeri yang tidak mendapat liputan, Jamil Khir berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan juga pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan lebih banyak pemancar dipasang di negeri-negeri berkenaan.

"Kita sedang mempercepatkan proses (pemasangan pemancar). Apa yang menjadi halangan kita ialah tentang spektrum atau saluran yang begitu terhad di negeri-negeri yang memerlukan kepada pemancar," katanya.

TV AlHijrah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 Dis lalu.

 TV berkenaan yang mula bersiaran sejak 1 Nov lalu boleh ditonton di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Walaupun baru mula bersiaran, 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan manakala 40 peratus adalah kandungan asing. Tiga puluh peratus daripada keseluruhan kandungannya diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah.

Dengan slogan "Segalanya Bermula Di Sini", TV AlHijrah merupakan stesen televisyen milik kerajaan dan diletak di bawah tanggungjawab Jamil Khir.

- Bernama

ADS