Seorang penternak khinzir di Batu 1 Sepang Selangor, yang pernah dirawat di hospital selama dua bulan ketika kemuncak wabak Nipah tahun lepas, meninggal dunia Khamis lalu. Sementara beratus-ratus lagi yang didapati pembawa virus berkenaan mula berasa bimbang.
Mendiang disyaki mati akibat virus Nipah tetapi Kementerian Kesihatan belum lagi mengesahkannya. Tham Hong Boon, 51, dihantar ke Hospital Seremban pada 22 Disember dan meninggal dunia jam 8:30 malam lima hari lalu.
Menurut abangnya, Tham Hong Heong, sijil kematiannya mencatatkan mendiang mati kerana "encephalitis", tanpa menyebutkan secara khusus sama ada Japanese Encephalitis (JE) atau virus baru Nipah.
Sejak Oktober 1998 hingga Mei 1999, pihak berkuasa kesihatan mencatatkan 258 kes encephalitis, sekurang-kurangnya 104 kematian. Kementerian berkenaan pada awalnya mengaitkan kebanyakan kes kematian itu dengan JE, tetapi kemudiannya kajian mendapati kes itu disebabkan sejenis virus seakan-akan Hendra - pernah menyerang kuda di Australia - yang dinamakan Nipah, sempena sebuah kampung di Negeri Sembilan, tempat wabak itu merebak dan virus itu mula ditemui.
Hong Boon dimasukkan ke hospital pada 4 April tahun lalu selepas dia jatuh pengsan ketika kemuncak wabak merebak. Mendiang keluar dari hospital pada 11 Jun selepas itu.
Berita kematian itu menggemparkan ramai penternak khinzir, khususnya mereka yang pernah dirawat di hospital dan terbukti mengandungi virus itu di dalam darah mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Virus Nipah Negeri Sembilan, Lay Yong Tee, kira-kira 200 penduduk Bukit Pelanduk diuji positif sebagai pembawa virus tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata pihak berkuasa tidak menjelaskan sama mereka pembawa virus itu atau antigennya. Seorang pembawa virus dijangkakan akan terus menderita penyakit tersebut, sementara pesakit yang mempunyai antigen positif akan membentuk kekebalan dalam badannya terhadap serangan virus Nipah.
Lay memberitahu malaysiakini bahawa majoriti penternak khinzir dan pekerja dalam industri berkaitan khinzir takut menjalani ujian darah, dan oleh itu keadaan sebenar penyakit itu tidak dapat dipastikan.
Eue Kong Loon, Setiausaha Persatuan Penternak Kuala Lumpur dan Selangor, kesal sikap kerajaan yang belum menerbitkan laporan penuh mengenai wabak Virus. "Kami tidak pasti bagaimana virus (Nipah) dipindahkan," katanya.
Menurut Lay, penyakit itu lebih serius di kalangan pesakit-pesakit tertentu yang menghadapi masalah kewangan kerana sebahagian besar menganggur dan mempunyai hutang. Beliau juga memberitahu sebilangannya disaman kilang makanan khinzir kerana tidak membayar hutang-hutang mereka.
