Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Umno: PAS gadai prinsip negara Islam
Diterbitkan:  Jun 4, 2011 10:04 AM
Dikemaskini: 10:10 AM

Tindakan PAS yang sanggup menukar matlamatnya daripada menubuhkan sebuah negara Islam kepada negara kebajikan membuktikan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk terus mendapat kepercayaan Pakatan Rakyat.

NONE Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam ( kanan ) berkata PAS nampak sangat menggadaikan prinsip mereka demi Pakatan Rakyat, malah mereka kini tidak lagi bercakap mengenai hukum hudud sebaliknya bercakap hendak buat negara kebajikan yang sudah lama BN lakukan.

"Saya percaya tidak mustahil satu hari nanti PAS akan kata negara Islam sudah tidak relevan lagi mungkin mereka (PAS) akan kata Malaysia perlu jadi negara sekular dengan mengeluarkan macam-macam fatwa," kata anggota  Majlis Tertinggi Umno itu kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Bahagian Segambut di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata PAS kini dilihat akan ikut apa yang diperkatakan DAP.

"Rakyat kini sudah boleh menilai PAS berjuang bukan kerana Allah tetapi PAS berjuang untuk menumbangkan Umno dan BN. PAS akan mengeluarkan fatwa-fatwa baru bagi menyakinkan rakyat untuk menolak BN dan ini apa yang sedang mereka (PAS) lakukan," katanya.

azlan Ditanya mengenai taktik pembangkang yang menggunakan isu kenaikan harga barang untuk mempengaruhi rakyat menolak BN, Mohd Ali berkata ini merupakan taktik lapuk dan rakyat sudah dijelaskan oleh kerajaan tentang kenaikan harga barang tersebut.

"Di negeri pembangkang mereka menaikkan cukai pintu dan pelbagai jenis cukai tetapi mengapa mereka tidak kata kerajaan mereka itu (pakatan pembangkang) zalim. Kita (kerajaan) buat rasionalisasi subsidi bagi mengimbangi harga pasaran dunia yang tidak menentu," katanya.

Mengenai kemenangan Mohamad Sabu dipilih sebagai Timbalan Presiden PAS mengalahkan Nasharuddin Mat Isa, penyandang jawatan itu untuk tiga penggal, Mohd Ali berkata kemenangan Mohamad telah mengetepikan pemikiran ulama dalam PAS dan ini akan menguatkan lagi bahawa mereka tidak akan mengguna pakai prinsip kerajaan Islam lagi.

NONE "Mereka kata kita (BN) sekular tapi pemilihan Muktamar (PAS) kali ini jelas menunjukkan mereka telah menolak ulama...demi kekal berkuasa dalam Pakatan Rakyat mungkin PAS akan jadi parti sekular juga," katanya.

Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan Naib Ketua Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim menyifatkan keputusan pemilihan pucuk pimpinan PAS Pusat pada Muktamar Tahunan PAS Ke-57 ini sebagai hilangnya kepimpinan ulama.

"Kita tidak terkejut dengan keputusan pucuk pimpinan tetapi apa pun dalam PAS sudah mula hilangnya taring ulama dalam kepimpinan parti itu dan ini sesuatu yang malang dalam PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Pasir Mas.

mohamad hasan negeri sembilan mb Di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan meramalkan PAS akan ditinggal oleh orang ramai yang menyokong parti itu berikutan keputusannya meninggalkan konsep negara Islam yang menjadi asas perjuangannya selama ini.

Orang ramai tidak akan percaya lagi kepada PAS yang dilihat terlalu mahu menjaga hati rakan pembangkangnya seperti DAP yang pernah menjadi seteru konsep negara Islam, katanya.

"Konsep nak tubuhkan negara Islam sudah tidak ada lagi dalam kamus perjuangan parti PAS...saya yakin jika PAS tidak lagi berjuang berlandaskan prinsip menegakkan negara Islam, ramai yang akan keluar dari PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Rembau di Seremban.

NONE Sementara itu Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata pendirian PAS itu jelas menunjukkan bahawa parti itu tidak mempunyai komitmen yang kuat dan jitu dalam perjuangan mereka.

Dasar PAS ini amat berbeza dengan Umno, walaupun Umno bergabung dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam Barisan Nasional tetapi parti itu tidak pernah mengadai prinsip perjuangan mereka untuk membela Melayu dan Islam, katanya.

Menurutnya PAS dilihat hanya mahu mengejar kuasa dan kerana itu sanggup menukar pendirian mereka hanya kerana mahu mendapatkan sokongan orang bukan Islam.

- Bernama