Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

MB: Semua permohonan tanah ditolak

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kerajaan negeri Selangor menolak semua permohonan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) termasuk Yayasan Selangor terhadap tanah kerajaan negeri seluas lapan hektar yang telah diusahakan sebagai tapak semaian yang dikenali sebagai Green Lane di Sungai Buloh.

ceramah selamatkan malaysia pas shah alam 090111 khalid ibrahim Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tanah yang diusahakan sebagai tapak semaian itu adalah tanah rezab keselamatan kerana terdapat dua batang paip bertekanan tinggi yang membekalkan air kepada lebih satu juta penduduk dan tidak ada sebarang aktiviti sepatutnya dibenarkan di atas tanah berkenaan.

"Sebagai Menteri Besar yang bertanggungjawab, saya tidak boleh tutup mata kepada masalah ini," katanya dalam kenyataan selepas satu pertemuan diadakan dengan pihak-pihak yang terlibat di Shah Alam, semalam.

Pada pertemuan itu pengusaha tapak semaian diwakili oleh Sunny Low, Presiden Landscape and Agriculture Nursery Operators of Subang Association, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman, Pegawai Daerah Petaling, Datuk Zulkifli Yaakob dan Pegawai Daerah Gombak Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sungai Buluh, nursery Namun begitu, Abdul Khalid berkata beliau prihatin dengan kebajikan lebih 60 pengusaha di Green Lane dan akan memastikan penyelesaian yang diambil tidak akan menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya Yayasan Selangor telah diminta menyediakan satu kajian sama ada aktiviti mengusaha tapak semaian di kawasan Green Lane selamat atau tidak.

"Jika ia tidak selamat, kerajaan negeri akan memastikan pengusaha akan diberi tempat lain untuk meneruskan perniagaan mereka," katanya.

Sungai Buluh, nursery Beliau juga menjemput badan wakil pengusaha tapak semaian melantik pakar jurutera untuk membuat laporan yang sama dan mereka telah diberi masa satu bulan untuk menyiapkan laporan berkenaan.

Sementara menunggu laporan itu siap, Abdul Khalid berkata beliau telah mengarahkan pejabat tanah dan galian serta pejabat daerah untuk mencari kawasan alternatif untuk pengusaha di kawasan berdekatan.

- Bernama