BERITA

Petronas untung RM241.2 bilion

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Jun 2011, 11:58 tengahari

Petronas melihat perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang lebih tinggi produk utamanya di celah-celah pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh sungguhpun ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS.

NONE Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Keuntungan pracukai meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) untuk tahun itu termasuk keuntungan bersih RM9.2 bilion hasil tawaran awam awal Petronas Chemicals Group Bhd (PCGB) dan Malaysia Marine dan Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB).

Tidak termasuk keuntungan itu, EBITDA meningkat 18.5 peratus, selaras dengan perolehan yang lebih tinggi, kata Shamsul Azhar kepada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Pulangan pada hasil bagi tahun itu iaitu 37.5 peratus, sungguhpun kos semakin meningkat, menunjukkan harga yang lebih kukuh dan usaha berterusan kumpulan ke arah keberkesanan operasi.

Harga yang lebih tinggi dan permintaan rancak menyebabkan prestasi yang lebih tinggi bagi semua perniagaan teras, kata naib presiden eksekutif kewangan Petronas Datuk George Ratilal.

"Prestasi Petronas sendiri juga selaras dengan pesaing kami, menunjukkan satu tahun lagi prestasi berdaya tahan kumpulan," katanya.

Beliau berkata perolehan kasar meningkat 12.9 peratus dengan perniagaan hiliran menjadi penyumbang perolehan terbesar pada 42.4 peratus daripada jumlah perolehan kasar.

Tunai daripada operasi adalah RM70.8 bilion berbanding RM56.1 bilion tahun lalu, satu peningkatan 26.2 peratus berikutan perolehan yang lebih baik.

Sejumlah RM34.9 bilion pada perbelanjaan modal digunakan kebanyakannya kepada merancakkan aktiviti eksplorasi dan  pengeluaran dan meneruskan usaha-usaha lain.

Bayaran 30 peratus dikaji

Dalam perkembangan lain, Ratilal berkata Petronas  sedang mengkaji untuk menetapkan jumlah dividen yang akan dibayar kepada kerajaan pada kadar 30 peratus daripada keuntungan bersih mulai tahun kewangan 2013.

Menurut beliau ini adalah "sesuatu yang agak pasti dan boleh dijangkakan."

"Petronas  sudah berbincang dengan kerajaan dan sudah mencapai persefahaman mengenai perkara ini," katanya.

Syarikat minyak nasional itu mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak RM30 bilion kepada kerajaan bagi tahun berkenaan.

Petronas juga membayar dividen serupa kepada kerajaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2010.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.