Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu lagi kumpulan peneroka Felda dijangka akan mengemukakan saman ke atas lembaga pembangunan tanah berkenaan berhubung dakwaan penipuan bayaran untuk hasil sawit.

Saman yang akan difailkan pada Jumaat ini melibatkan kerugian didakwa mencecah RM1,000 setandan yang ditanggung oleh 700 peneroka berkenaan, kata seorang anggota Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal PKR, Rebin Birham.

NONE Beliau mendakwa, ujian makmal menunjukkan buah sawit berkenaan mempunyai kadar perahan minyak setinggi 26 peratus, namun Felda menetapkan bahawa kadar perahan bagi buah berkenaan adalah sebanyak 17 peratus.

Beberapa ratus orang peneroka lagi turut dijangka akan turut serta dalam tindakan saman itu, kata Rebin lagi ketika ditemui di satu bengkel anjuran Sekretariat Task Force Felda Selangor hari ini.

Saman yang akan difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh itu merupakan susulan kepada satu keputusan Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu yang memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

Kumpulan peneroka Temerloh ini akan diwakili peguam R Sivarasa yang sebelum ini mewakili peneroka di Serting dan Gugusan Raja Alias dalam saman berjumlah RM200 juta ke atas lembaga tanah berkenaan.

Selain itu, Felda juga berdepan dengan tindakan saman daripada sekumpulan 32 orang peneroka di Jempol yang menuntut hak mereka bagi melantik kontraktor untuk menebang pohon getah.

Sementara itu, pengerusi biro berkenaan, Suhaimi Said pula berkata, lebih banyak lagi saman yang akan dikemukakan oleh golongan peneroka ke atas Felda.

Seramai 300 orang lagi peneroka di Felda Keratong telah sedia untuk mengemukakan saman, manakala kumpulan peneroka di Johor dan Perak sedang bersiap sedia bagi mengambil langkah sama, kata aktivis hak asasi itu.

Tambahnya, peneroka berkenaan terpaksa mengambil langkah saman memandangkan rundingan yang dijalankan dengan Felda tidak membuahkan hasil.

"Saudara Mazlan Aliman dah berapa kali tulis surat untuk berunding. Tapi bila berjumpa, (pegawai Felda) kata 'kamu ini tak pandai bersyukur.' Kalau dia kata tak bersyukur nak runding apa? Jadi kita terpaksa saman," katanya lagi dalam bengkel berkenaan.

ADS