Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Hasrat Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa kariah masjid bagi sesi 2012-2013 dengan kaedah pilihan raya terpaksa dibatalkan.

Keputusan itu dibuat di Istana Negara di Kuala Lumpur pagi ini apabila Yang di-Pertua Negri Abdul Rahman Abbas dan Yang Dipertua MAIPP Ellias Zakaria menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Mesyuarat agung masjid-masjid di Pulau Pinang yang dijadualkan esok dan Ahad ini sepatutnya memilih jawatankuasa kariah di 151 daripada 200 masjid tetapi kini ditangguhkan sehingga notis lanjut.

NONE Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim ( kiri ) berkata keputusan menangguhkan pemilihan itu dibuat selepas perjumpaan di Istana Negara pagi ini.

"Saya baru diberitahu melalui telefon oleh Ellias bahawa hasil daripada satu pertemuan yang telah diadakan di Istana Negara pagi ini, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid ditangguhkan buat sementara waktu," katanya.

Pemilihan ala pilihan raya yang dicadangkan itu bagi membolehkan anak kariah mengundi secara sulit untuk memilih pemimpin kariah yang sebelum ini dipilih oleh MAIPP.

"Kami akan buat pengumuman rasmi selepas mesyuarat MAIPP pad Isnin ini. Selepas itu, kami akan memutuskan sama ada untuk meneruskan atau membatalkan pilihan raya berkenaan,” kata Abdul Malik.

NONE Bantahan pelbagai pihak yang didalangi Umno begitu lantang kerana gusar pilihan raya kariah masjid akan menghakis sokongan kepada parti itu yang kini gagal menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang setelah ditumbangkan pada pilihan raya umum 2008.

Umno mendakwa pemilihan secara demokrasi itu akan hanya membawa perpecahan di kalangan umat Islam selain mengheret masjid ke kancah politik kepartian.

[Baca berita penuh]

Sebelum ini, Bernama melaporkan seramai 4,485 calon telah menawarkan diri untuk mengisi 4,530 jawatan di 151 daripada 200 masjid di Pulau Pinang.

34 buah masjid tidak akan mengadakan pemilihan kerana anak-anak kariahnya telah mengadakan kompromi manakala lapan buah lagi tidak menghantar borang pencalonan selepas pencalonan ditutup pada 7 Jun.

Abdul Malik juga berkata pilihan raya masjid itu menepati Seksyen 22 (4) Enakmen Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

ADS